CEBU: Jumlah korban akibat Taufan Kalmaegi di Filipina meningkat melebihi 100 orang, ketika penduduk di Cebu bergelut membersihkan rumah dan premis perniagaan yang musnah akibat banjir terburuk yang melanda wilayah itu.
Banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini menenggelamkan puluhan bandar dan pekan, menghanyutkan kereta, trak serta kontena penghantaran bersaiz besar.
Aliran deras air berlumpur yang turun dari lereng bukit mengalir ke bandar serta kawasan penempatan.
Menurut Timbalan Pentadbir Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro sebanyak 49 kematian dicatatkan di Cebu dengan 26 orang masih hilang.
“Semua air banjir kini sudah mula surut. Cabaran kita sekarang ialah membersihkan sisa runtuhan yang menghalang jalan raya dan lapisan tebal lumpur yang ditinggalkan oleh air banjir,” katanya.
Wartawan AFP melihat penduduk membersihkan jalan yang sehari sebelumnya bertukar menjadi sungai.
“Banjir semalam sangat teruk. Semua barang di kedai saya hanyut. Keadaan sangat menakutkan.
“Air sungai turut melimpah. Sekitar pukul 5 pagi, arus banjir menjadi terlalu deras hingga menyebabkan kami terperangkap dan langsung tidak boleh keluar rumah. Bencana buruk ini belum pernah berlaku,” kata peduduk Cebu, Reynaldo Vergara, 53.
Menurut Pakar Cuaca, Charmagne Varilla, kawasan sekitar Cebu City menerima 183 milimeter hujan dalam masa 24 jam sebelum taufan melanda, jauh melebihi purata bulanan 131 milimeter.
Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro, menyifatkan keadaan itu sebagai luar biasa.
“Kami menjangkakan angin menjadi ancaman utama, tetapi air banjir yang benar-benar membahayakan nyawa penduduk kami. Banjir kali ini mencetus kemusnahan yang sangat besar,” katanya.
Tentera Filipina turut mengesahkan sebuah helikopter yang dihantar untuk menyokong operasi bantuan taufan terhempas di pulau Mindanao utara.
Beberapa jam kemudian, jurucakap Tentera Udara, Kolonel Maria Christina Basco, mengesahkan mayat enam anggota ditemukan.
“Kami menunggu proses forensik untuk mengesahkan identiti,” katanya, sambil menjelaskan dua juruterbang dan empat kru berada di dalam pesawat.
Sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam, Taufan Kalmaegi bergerak ke arah destinasi pelancongan Palawan dengan tiupan kencang sehingga 165 kilometer sejam (km/j).
Filipina, yang dilanda purata 20 ribut setiap tahun, sekali lagi berdepan ancaman tambahan apabila Varilla berkata, tiga hingga lima lagi ribut dijangka menjelang akhir Disember.
Negara itu dilanda dua ribut besar pada September lalu, termasuk Taufan Ragasa yang turut mengorbankan 14 orang di Taiwan.-AFP










