Taufan Kalmaegi badai Filipina, lima maut, ratusan ribu dipindahkan - Utusan Malaysia

Taufan Kalmaegi badai Filipina, lima maut, ratusan ribu dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CEBU: Sekurang-kurangnya lima maut manakala ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas hujan lebat akibat Taufan Kalmaegi membanjiri sebahagian besar wilayah tengah Filipina semalam.

Beberapa kawasan di Pulau Cebu dilanda banjir besar dengan arus deras membawa bersama kereta, lori dan kontena kargo seperti yang kelihatan dalam beberapa rakaman video yang disahkan agensi berita AFP.

Dalam tempoh 24 jam sebelum taufan itu melanda, kawasan sekitar Cebu City menerima 183 milimeter hujan, jauh melebihi purata bulanan 131 milimeter, menurut pakar cuaca negara itu, Charmagne Varilla.

Gabenor wilayah Cebu, Pamela Baricuatro, berkata keadaan yang melanda wilayahnya itu “belum pernah berlaku sebelum ini” dan menegaskan ancaman sebenar bukanlah angin kencang, tetapi air banjir yang begitu dahsyat.

“Kami menyangka angin akan jadi bahaya utama, tetapi ternyata airlah yang benar-benar mengancam rakyat kami,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut pegawai bencana tempatan, dua kanak-kanak ditemui mati lemas di Cebu City, manakala tiga lagi korban dilaporkan di wilayah lain termasuk seorang warga emas di Leyte dan seorang lelaki yang maut dihempap pokok tumbang di Bohol.

Penduduk tempatan, Don del Rosario, 28, berkata air naik terlalu pantas hingga memaksa mereka berlindung di tingkat atas rumah. “Dalam masa beberapa jam sahaja, air sudah tidak terkawal,” katanya.

Sementara itu, ratusan mangsa gempa bumi 6.9 magnitud yang masih tinggal di khemah sementara sejak akhir September turut dipindahkan demi keselamatan.

Secara keseluruhan, hampir 400,000 orang dipindahkan lebih awal daripada laluan taufan, menurut Timbalan Ketua Pejabat Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro.

Pada pukul 2 petang semalam, Kalmaegi dikesan bergerak ke arah barat merentasi gugusan pulau Visayas dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam dan tiupan kencang mencecah 180 kilometer sejam, menyebabkan pokok tumbang serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

Filipina yang lazimnya dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, kini sudah mencapai angka tersebut dengan kehadiran Kalmaegi. Pakar cuaca memberi amaran sekurang-kurangnya tiga hingga lima lagi ribut dijangka melanda menjelang hujung tahun.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, Miriam Vargas, 34, yang berlindung di rumahnya di wilayah Dinagat berkata, “Bekalan elektrik terputus sejam lalu, kami hanya mampu berdoa dalam gelap sementara angin mengganas di luar.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN