GENEVA: Sekurang-kurangnya seorang wanita dibunuh oleh individu yang rapat dengannya setiap 10 minit pada tahun lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika menggesa tindakan lebih tegas dalam memerangi jenayah femisid yang membimbangkan.
Dalam laporan yang dikeluarkan bersempena Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan terhadap Wanita, Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) serta UN Women mendedahkan kira-kira 50,000 wanita dan kanak-kanak perempuan dibunuh oleh pasangan intim atau ahli keluarga sepanjang 2024.
Angka itu melibatkan pembunuhan oleh suami, teman lelaki, bapa, ibu, abang, pak cik dan ahli keluarga rapat lain.
Menurut laporan tersebut, 60 peratus daripada keseluruhan mangsa wanita dibunuh oleh individu yang mempunyai hubungan rapat, berbanding hanya 11 peratus mangsa lelaki yang terbunuh dalam situasi sama.
Data daripada 117 negara itu bersamaan dengan purata 137 wanita setiap hari, atau seorang wanita setiap 10 minit.
PBB menegaskan jumlah itu sedikit lebih rendah berbanding 2023 namun tidak menggambarkan penurunan sebenar, sebaliknya disebabkan perbezaan ketersediaan data antara negara.
Kajian itu juga menegaskan rumah kekal menjadi “tempat paling berbahaya” bagi wanita dan kanak-kanak perempuan kerana risiko pembunuhan paling tinggi berlaku di ruang domestik.
Tiada satu pun rantau di dunia terlepas daripada insiden femisid, dengan Afrika mencatatkan angka tertinggi sekitar 22,000 kes pada tahun lalu.
Menurut Pengarah Bahagian Dasar UN Women, Sarah Hendricks, pembunuhan wanita tidak berlaku secara terasing tetapi sering bermula dengan tingkah laku mengawal, ugutan dan gangguan termasuk di alam maya.
Laporan tersebut turut menyatakan kemajuan teknologi telah memperluaskan bentuk keganasan terhadap wanita, termasuk penyebaran imej tanpa izin, pendedahan maklumat peribadi (doxxing) dan penyalahgunaan teknologi seperti video deepfake.
Hendricks menegaskan keperluan melaksanakan undang-undang yang mengambil kira keganasan dalam kehidupan wanita sama ada dalam talian atau luar talian, serta memastikan pelaku dipertanggungjawabkan sebelum keadaan bertukar menjadi tragedi











