Sarung telefon seberat 2.7kg kurangkan ketagihan skrin

Sarung telefon seberat 2.7kg kurangkan ketagihan skrin

SARUNG telefon pintar yang diperbuat daripada logam ini seberat 2.7 kilogram. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah syarikat neurosains memperkenalkan sarung telefon pintar seberat 2.7 kilogram (kg) yang direka dengan satu tujuan pelik iaitu mengurangkan masa penggunaan telefon dengan menjadikannya terlalu berat dan susah diguna.

Sarung telefon biasanya direka ringan dan nipis untuk kemudahan pengguna. Na­mun syarikat Matter Neuroscience mengambil pendekatan sebaliknya iaitu menghasilkan sarung paling berat dan tebal di dunia, dengan niat pengguna cepat letih setiap kali cuba menggunakan telefon mereka.

Sarung yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu bukan sahaja lebih berat daripada komputer riba MacBook Pro 16 inci, tetapi juga memerlukan dua bahagian logam yang dipasang menggunakan skru bagi menutup sepenuhnya telefon.

Dibina dengan inspirasi daripada reka bentuk ikonik telefon Black Diamond era 1980-an, sarung ini tidak muat di dalam poket dan semakin sukar digunakan selepas semakin lama anda memegangnya. Idea di sebalik rekaan ini mudah, keletihan fizikal akan membuatkan pengguna secara semula jadi meletakkan telefon mereka.

“Dengan berat 2.7kg, tangan dan lengan anda akan terasa letih semasa menggunakannya. Keletihan itu memberi isya­­rat fi­­zikal untuk ber­henti dan mungkin boleh menguatkan otot anda juga,” menurut keterangan di laman Kickstarter projek itu.

Menanggalkan sarung ini bukan mustahil, tetapi ia memerlukan kunci untuk membuka dua bahagian logam tersebut menjadi satu proses yang cukup menyusahkan sehingga membuatkan pengguna berfikir dua kali sebelum menanggalkannya.

Sarung telefon antiketagihan ini kini berada pada peringkat pengumpulan dana awam di Kickstarter dengan harga tempahan awal bermula dari AS$210 (RM880). Bagi yang mahu versi lebih premium dan berat, terdapat juga edisi tembaga berharga AS$500 (RM2,096).

Setakat ini, Matter Neuroscience telah mengumpul sekitar AS$17,000 (RM71,294) daripada sasaran AS$75,000 (RM314,534) dan berharap idea unik ini dapat memban­tu peng­guna di se­­­luruh dunia me­latih semula otak mereka untuk tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN