MEDAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperhebatkan di pulau Sumatera susulan banjir kilat dan tanah runtuh akibat ribut tropika Senyar yang telah meragut 69 nyawa, manakala 59 hilang.
Banjir besar melumpuhkan beberapa kawasan di Medan dan Padang, dengan pihak berkuasa memberi amaran risiko tanah runtuh susulan dan menggesa penduduk di lereng bukit mematuhi arahan pemindahan.
Hujan monsun berterusan sejak minggu lalu menyebabkan beberapa sungai melimpah pada Selasa, mengakibatkan air deras melanda perkampungan di lereng bukit, menghanyutkan penduduk serta menenggelamkan lebih 2,000 rumah dan bangunan.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) melaporkan hampir 5,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan kerajaan.
Operasi SAR giat dijalankan di sungai dan kawasan runtuhan, namun usaha itu dihalang oleh tanah lumpur tebal, gangguan bekalan elektrik serta masalah komunikasi.
Jurucakap polis wilayah, Ferry Walintukan, mengesahkan angka kematian meningkat kepada 37 di Sumatera Utara selepas lebih banyak mayat ditemui pada Khamis, sementara 52 penduduk masih hilang.
Sementara itu, di selatan Thailand, angka korban melebihi 80 mangsa apabila banjir mula surut di beberapa kawasan.
Wilayah Songkhla mencatat jumlah korban tertinggi iaitu 55 kematian, meningkat drastik daripada enam kematian sebelumnya.
Kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat, menggerakkan bantuan kecemasan dan memberi amaran risiko tanah runtuh serta banjir susulan masih tinggi.
Di Sri Lanka pula, hujan monsun yang berterusan menyebabkan banjir dan tanah runtuh meragut 47 nyawa, dengan 21 lagi dilaporkan hilang.
Lebih 10 orang cedera, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala operasi SAR terganggu akibat tanah runtuh di kawasan tanah tinggi termasuk Badulla dan Nuwara Eliya, kira-kira 300 kilometer dari ibu negara Colombo.
Hujan lebat turut menyebabkan gangguan besar terhadap perkhidmatan kereta api dan penutupan jalan utama di seluruh Sri Lanka. Pihak berkuasa terus menggesa penduduk berjaga-jaga serta mematuhi arahan keselamatan bagi mengelak kehilangan nyawa dan harta benda.










