Resolusi tubuh pasukan penstabil Gaza siap lagi dua minggu

Resolusi tubuh pasukan penstabil Gaza siap lagi dua minggu

PENDUDUK Palestin mendirikan khemah perlindungan di kawasan runtuhan bangunan di Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi menubuhkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza dijangka siap dalam tempoh dua minggu, namun pelaksanaannya mungkin tertangguh sekiranya isu mandat dan kepimpinan pasukan itu gagal diselesaikan.

Resolusi tersebut akan menentukan struktur pasukan termasuk peranan kepimpinan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), hubungan dengan pasukan polis awam Palestin serta jadual penarikan keluar tentera Israel dari wilayah Gaza.

Rundingan mengenai perkara itu dilakukan di New York dan Istanbul melibatkan negara-negara Islam yang berpotensi menghantar anggota tentera.

Dalam mesyuarat di Istanbul kelmarin, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, keputusan negara-negara Islam untuk menghantar pasukan bergantung kepada misi dan kuasa yang diberikan oleh PBB.

“Jika mandat pasukan ini bercanggah dengan dasar dan prinsip negara-negara penyumbang, sudah tentu sukar bagi mereka untuk menghantar tentera,” katanya.

Antara isu utama yang masih diperdebatkan termasuk kemungkinan AS mengetuai pasukan berkenaan, mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian dengan Israel, serta sama ada tarikh penarikan penuh tentera Israel perlu ditetapkan atau dikaitkan dengan pelucutan senjata Hamas.

Turkiye turut menawarkan untuk menghantar tenteranya, namun cadangan itu ditolak oleh Israel kerana hubungan Ankara dengan Hamas.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh menteri luar Indonesia, Pakistan, Arab Saudi dan Jordan, selain wakil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Jordan memaklumkan ia bersedia melatih pasukan polis Palestin bagi mengurus keselamatan di Gaza, tetapi peranan antara kedua-dua pasukan masih belum diperincikan.

Sementara itu, keadaan di Gaza terus tegang apabila 115 orang dilaporkan terbunuh dan 352 cedera pada Selasa, menjadikannya hari paling berdarah sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 10 Oktober lalu.

Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menggesa usaha penstabilan disegerakan kerana ‘kekosongan keselamatan dan pentadbiran di Gaza perlu segera diisi’.

Fidan dalam kenyataannya menuduh Israel kerap melanggar perjanjian gencatan senjata dan menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan.

Sumber diplomatik memaklumkan, calon bagi jawatankuasa teknokrat Palestin yang akan mentadbir Gaza sedang dinilai bagi memastikan mereka mendapat kepercayaan masyarakat setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN