WASHINGTON: Selepas Amerika Syarikat (AS) menghentikan pengeluaran syiling satu sen, rangkaian stesen minyak, restoran makanan segera dan pasar raya besar kini bergelut menyediakan baki dan menyesuaikan harga serta pembundaran urus niaga tunai yang berpotensi menjejaskan keuntungan mereka.
Kekurangan bekalan syiling berlaku lebih cepat daripada jangkaan peruncit susulan keputusan Presiden, Donald Trump awal tahun ini untuk menghentikan pengeluaran syiling satu sen.
Peruncit mengadu kecewa dengan kekurangan garis panduan daripada pentadbiran Trump dan penggubal undang-undang, memaksa mereka membundarkan harga ke bawah bagi mengelakkan kemarahan pelanggan serta melanggar undang-undang di beberapa negeri.
Langkah itu bakal menyebabkan kerugian besar kepada perniagaan berjumlah tinggi.
Persekutuan Peruncit Kebangsaan (NRF) memberitahu Reuters, kekurangan syiling kini menjejaskan peruncit di kawasan bandar dan luar bandar tanpa corak lokasi yang jelas.
Ahli beberapa persatuan restoran negeri turut menyuarakan kebimbangan tentang kekurangan syiling tersebut.
“Mana-mana peniaga yang menerima pembayaran tunai sedang berdepan masalah ini.
“Apa yang paling membantu dalam jangka masa terdekat ialah kejelasan mengenai amalan pembundaran, sama ada peruncit boleh membundar naik atau turun jumlah transaksi atau baki,” kata Pengarah Kanan Hubungan Kerajaan NRF, Dylan Jeonyang mewakili syarikat seperti Walmart, Target, Macy’s dan Old Navy.
NRF sedang melobi pentadbiran dan Kongres untuk panduan konsisten, terutama mengenai pembundaran harga.
Beberapa rangkaian kedai serbaneka utama sudah mula memberi amaran kepada pelanggan antaranya rangkaian kedai keluarga Sheetz yang memaparkan notis di satu cawangannya di Pennsylvania tertulis ‘U.S. Mint tidak lagi menghasilkan syiling satu sen, jadi kami kekurangan wang syiling!’.
Pelanggan digalakkan menggunakan pembayaran tanpa tunai, membundarkan bayaran untuk derma amal, atau menukar 100 syiling satu sen untuk minuman percuma.
Kwik Trip, rangkaian kedai serbaneka di Wisconsin mengumumkan 850 cawangannya di Midwest akan membundarkan pembayaran tunai kepada nilai lima sen terdekat.
Di Dallas, satu notis menyatakan ‘Jabatan Perbendaharaan AS menghentikan pembuatan syiling satu sen dan kami mungkin mengalami kekurangan’.
Kroger, salah satu rangkaian pasar raya terbesar di AS berkata, pihaknya sedang menilai kesan situasi itu dengan banyak cawangan memaparkan notis meminta pelanggan menyediakan wang tepat.
Sebuah kedai CVS di Alexandria, Virginia turut memaparkan notis meminta wang tepat kerana kekurangan syiling.
Jabatan Perbendaharaan tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap beberapa permintaan untuk komen.
Beberapa negeri termasuk California, New York dan Illinois mempunyai undang-undang perlindungan pengguna yang mewajibkan kedai memberikan wang baki tepat, mewujudkan kekeliruan undang-undang apabila syiling semakin pupus.
Walaupun arahan Trump memulakan penghentian pengeluaran, Kongres masih memiliki kuasa penuh mengenai mata wang, bermakna undang-undang mungkin tetap diperlukan untuk penamatan kekal.
Gabungan persatuan industri termasuk stesen minyak, kedai serbaneka, pusat rehat dan pasar raya memberi amaran melalui surat bertarikh 30 September kepada pemimpin Kongres, menegaskan tanpa penyelesaian segera, urus niaga tunai mungkin menjadi sukar dilakukan secara sah di banyak kawasan.










