Permintaan pendingin hawa meningkat tiga kali ganda menjelang 2050

Permintaan pendingin hawa meningkat tiga kali ganda menjelang 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran permintaan global terhadap pendingin hawa dijangka meningkat lebih tiga kali ganda menjelang 2050.

Program Alam Sekitar PBB (UNEP) berkata, lonjakan permintaan itu dijangka berlaku susulan pertambahan populasi dan kekayaan di seluruh dunia, selain peningkatan suhu yang semakin ekstrem.

UNEP menegaskan, peningkatan penggunaan sistem penyejukan yang mencemarkan dan tidak cekap akan menggandakan pelepasan gas rumah hijau berbanding tahap 2022.

Memuatkan artikel berkaitan…

UNEP melancarkan laporan Global Cooling Watch 2025 sempena sidang kemuncak iklim COP30 PBB di Belem, Amazon, Brazil.

“Kapasiiti penyejukan yang dipasang dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050. Namun, berbilion orang masih tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi daripada haba. 

“Kita perlu membayangkan semula penyejukan bukan sebagai punca pelepasan, tetapi sebagai asas ketahanan terhadap panas dan pembangunan lestari,” menurut laporan itu.

Pertumbuhan paling pesat dalam permintaan penyejukan diunjurkan di Afrika dan Asia Selatan.

“Apabila gelombang haba maut menjadi lebih kerap dan melampau, akses kepada penyejukan perlu dianggap sebagai infrastruktur penting sama seperti air, tenaga dan sanitasi.

“Namun, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penghawa dingin untuk mengatasi krisis haba, kerana ia akan meningkatkan pelepasan gas rumah kaca dan kos,” kata Ketua UNEP, Inger Andersen, dalam satu kenyataan.

UNEP menekankan pilihan penyejukan ‘pasif’, termasuk reka bentuk dinding dan bumbung yang lebih baik, teduhan, penyelesaian luar grid solar dan pengudaraan.

“Penyelesaian pasif, cekap tenaga dan berasaskan alam semula jadi boleh membantu memenuhi keperluan penyejukan yang semakin meningkat serta melindungi manusia, rantaian makanan serta ekonomi daripada panas ketika kita mengejar matlamat iklim global,” kata Andersen.

Laporan Penyejukan itu mencadangkan penerimaan langkah sedemikian boleh mengurangkan pelepasan sehingga 64 peratus daripada paras yang dijangkakan pada 2050.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN