KAHERAH: Delegasi dari Mesir, Qatar dan Turkiye yang bertindak sebagai pengantara bersama Amerika Syarikat (AS) bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza mengadakan pertemuan di Kaherah untuk membincangkan fasa kedua perjanjian itu.
Saluran Al-Qahera News yang mempunyai hubungan rapat dengan perisikan Mesir melaporkan, mesyuarat itu dihadiri oleh ketua perisikan Mesir dan Turkiye, bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani.
Para perwakilan membincangkan usaha untuk bekerjasama dengan AS bagi memastikan pelaksanaan berjaya fasa kedua perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor saluran tersebut.
Mesir, Qatar, Turkiye dan AS bertindak sebagai pengantara serta penjamin kepada perjanjian Gaza itu, yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober selepas dua tahun peperangan.
Pertemuan di Kaherah itu berlangsung dua hari selepas satu delegasi kanan Hamas bertemu dengan ketua perisikan Mesir, Hassan Rashad untuk membincangkan fasa kedua gencatan senjata tersebut.
Fasa itu melibatkan usaha melucutkan senjata Hamas, menubuhkan sebuah pihak berkuasa peralihan serta menghantar pasukan penstabilan antarabangsa yang terdiri daripada tentera asing ke Semenanjung Gaza.
Menurut Al-Qahera News, mesyuarat tersebut turut membincangkan cara mengatasi halangan dan mengehadkan pelanggaran bagi memastikan gencatan senjata terus kekal.
Israel dan Hamas berulang kali menuduh satu sama lain melanggar perjanjian tersebut.
Menurut kementerian kesihatan Gaza, lebih daripada 300 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Pelarian Palestin kini turut bergelut akibat cuaca sejuk dan khemah yang dinaiki air akibat hujan lebat.
Para pengantara juga bersetuju untuk terus memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dengan Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan, pusat pemantauan gencatan senjata yang ditubuhkan oleh AS dan sekutunya di selatan Israel.-AFP










