Pemberontak Yemen hukum mati 17 individu mengintip untuk Israel, AS dan Arab Saudi

Pemberontak Yemen hukum mati 17 individu mengintip untuk Israel, AS dan Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Mahkamah yang dikendalikan oleh pemberontak Houthi di Yemen menjatuhkan hukuman mati ke atas 17 individu yang didakwa melakukan pengintipan bagi pihak Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi, menurut media pemberontak.

Agensi berita Saba milik Houthi melaporkan, mahkamah di ibu negara, Sanaa menjatuhkan hukuman itu dalam kes berkaitan sel pengintipan yang dikaitkan dengan perkhidmatan risikan AS, Israel dan Arab Saudi.

Hukuman itu akan dilaksanakan melalui skuad penembak.

Peguam, Abdulbasit Ghazi, yang mewakili beberapa defendan berkata, mereka boleh membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

Tuduhan terhadap mereka termasuk bersekongkol dengan negara asing yang berada dalam keadaan permusuhan dengan Yemen sepanjang tempoh 2024-2025, iaitu Arab Saudi, Britain dan AS serta mengintip bagi kepentingan mereka melalui pegawai dari negara-negara tersebut dan daripada perkhidmatan risikan Israel, Mossad.

Para defendan juga didakwa menghasut dan membantu dalam merekrut sejumlah warga yang membawa kepada sasaran beberapa lokasi tentera, keselamatan dan awam sehingga mengakibatkan kematian puluhan individu serta kemusnahan infrastruktur secara meluas.

Seorang lelaki dan seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing, manakala seorang lagi individu dibebaskan dalam kes yang sama.

Israel dilaporkan menyerang sasaran di Yemen berulang kali dalam dua tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Houthi ke atas Israel, yang menurut pemberontak dilakukan sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Susulan serangan Israel, Houthi melancarkan kempen besar-besaran penahanan terhadap mereka yang didakwa mengintip untuk Israel atau AS.

Tindakan keras itu meningkat selepas serangan pada bulan Ogos yang membunuh Perdana Menteri pemberontak, Ahmed Ghaleb Nasser al-Rahawi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN