DHAKA: Seramai 100 pekerja warga Bangladesh yang pernah diambil bekerja oleh beberapa syarikat Malaysia berhimpun di ibu negara Dhaka semalam bagi menuntut gaji tertunggak, pampasan yang adil serta menamatkan dakwaan penderaan yang dilakukan oleh majikan di Malaysia.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Rangkaian Kebajikan Pekerja Migran (Migrant Welfare Network), sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Malaysia dan Bangladesh, di hadapan Kementerian Kebajikan Perantau dan Pekerjaan Luar Negara.
Tindakan itu bagi membantah layanan buruk terhadap pekerja asing di Malaysia yang didakwa semakin berleluasa.
Kumpulan berkenaan menuntut bayaran gaji dan pampasan kepada 431 pekerja Bangladesh yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi oleh dua syarikat Malaysia, iaitu Mediceram dan Kawaguchi Manufacturing.
Bagaimanapun, Associated Press melaporkan pihaknya tidak dapat menghubungi kedua-dua syarikat tersebut bagi mendapatkan maklum balas lanjut.
Menurut kenyataan kumpulan itu, aduan telah difailkan terhadap syarikat Australia, Ansell, yang merupakan pelanggan utama Mediceram, berhubung dakwaan buruh paksa dan pengabaian. Mediceram dilapor mengeluarkan sarung tangan untuk kegunaan perubatan, industri dan domestik.
Satu lagi aduan turut difailkan terhadap Kawaguchi yang membekalkan komponen plastik kepada syarikat-syarikat besar Jepun termasuk Sony Group.
Pada Mei lalu, seramai 280 pekerja Bangladesh di bawah Kawaguchi menuntut ratusan ribu dolar Amerika Syarikat dalam bentuk gaji tertunggak selepas syarikat berkenaan menutup operasi lima bulan sebelumnya.
Mereka mendakwa gaji ditahan sehingga lapan bulan sebelum penutupan dilakukan susulan dua pelanggan utama, Sony dan Panasonic Holdings Corp., menghentikan pesanan selepas timbul dakwaan penderaan pekerja.
Seorang bekas pekerja Kawaguchi, Omar Faruk, berkata pada peringkat awal syarikat hanya membayar antara RM500 hingga RM1,000 sebulan sebagai elaun makanan sebelum menahan keseluruhan gaji.
“Selepas itu, syarikat mula merancang untuk tutup operasi. Kami kemudian memfailkan aduan di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bekas pekerja Mediceram, Harun Or Rasid Liton, mendakwa syarikat itu gagal membayar gaji walaupun telah diarahkan oleh Mahkamah Buruh Malaysia.
“Mahkamah memutuskan syarikat perlu membayar RM1,000 sebulan, namun hanya bayaran pertama dilunaskan sebelum dihentikan. Kini kami terpaksa pulang ke Bangladesh dan hidup dalam kesempitan,” ujarnya.










