GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya menghentikan segera serangan udara terhadap bot di perairan Caribbean dan Pasifik Timur yang didakwa membawa pengedar dadah, sambil menegaskan tindakan itu menyamai pembunuhan di luar proses undang-undang.
Menurut laporan, serangan dilakukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 62 individu di atas bot yang dituduh Washington sebagai kenderaan penyeludupan dadah namun, ahli keluarga mangsa dan beberapa kerajaan di rantau berkenaan mendakwa sebahagian daripada mereka hanyalah nelayan biasa.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, individu yang terbunuh itu mati dalam keadaan “yang tidak mempunyai sebarang justifikasi di sisi undang-undang antarabangsa.”
“Serangan seperti ini dan jumlah korban yang semakin meningkat adalah tidak boleh diterima.
“AS mesti menghentikan tindakan sedemikian serta mengambil segala langkah perlu bagi mengelakkan pembunuhan tanpa proses undang-undang terhadap mereka yang berada di atas bot, tanpa mengira kesalahan yang didakwa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberitahu Kongres AS kini berada dalam konflik bersenjata dengan kartel dadah Amerika Latin, yang turut digambarkan sebagai kumpulan pengganas, justifikasi utama bagi melancarkan serangan tersebut.
Ketegangan di rantau itu semakin memuncak selepas Trump mengumumkan beliau telah memberi kebenaran kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjalankan operasi di Venezuela dan sedang mempertimbangkan serangan darat terhadap kartel dadah di negara berkenaan.
Turk menegaskan, usaha memerangi penyeludupan dadah rentas sempadan antarabangsa seharusnya dikendalikan sebagai urusan penguatkuasaan undang-undang, bukannya tindakan ketenteraan.
Tambah beliau, berdasarkan maklumat terhad yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa AS, tiada sebarang bukti menunjukkan individu di atas bot sasaran itu mengancam keselamatan atau nyawa pihak lain.
“Oleh itu, tindakan menggunakan kekerasan bersenjata terhadap mereka tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya lagi sambil menuntut supaya satu siasatan segera, bebas dan telus dijalankan terhadap semua serangan berkenaan. -AGENSI










