Nigeria nafi tuduhan Trump berhubung isu pembunuhan komuniti Kristian - Utusan Malaysia

Nigeria nafi tuduhan Trump berhubung isu pembunuhan komuniti Kristian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABUJA: Nigeria menyatakan negara itu sedia menerima bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi kumpulan bersenjata, namun kerjasama itu mestilah menghormati kedaulatan wilayah dan integriti negara.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Donald Trump mengugut  melancarkan tindakan ketenteraan berhubung dakwaan ‘pembunuhan terhadap penganut Kristian’ di negara Afrika Barat itu.

Trump dalam satu hantaran di media sosial pada Sabtu berkata, beliau mengarahkan Jabatan Pertahanan AS untuk bersiap sedia mengambil tindakan ketenteraan “cepat” sekiranya Nigeria gagal mengekang pembunuhan terhadap penganut Kristian.

Ancaman itu mencetuskan bantahan keras daripada kerajaan Nigeria yang menolak dakwaan berlakunya “pembunuhan berasaskan agama.”

Jurucakap Kementerian Luar Nigeria, Kimiebi Imomotimi Ebienfa, menegaskan kepada Al Jazeera tidak wujud sebarang “pembunuhan beramai-ramai terhadap Kristian” di Nigeria.

“Kami akui berlaku pembunuhan di beberapa kawasan, tetapi ia bukan hanya melibatkan penganut Kristian. Kerajaan tidak pernah mengizinkan sebarang bentuk pembunuhan, malah tindakan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas seperti Boko Haram, al-Qaeda, dan ISIL,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Presiden Nigeria, Daniel Bwala, memberitahu Reuters Nigeria bersedia menerima bantuan ketenteraan AS sekiranya ia dilaksanakan dengan penuh hormat terhadap kedaulatan negara.

“Saya yakin, apabila kedua-dua pemimpin bertemu, akan ada hasil positif dalam usaha bersama memerangi keganasan,” ujarnya.

Presiden Nigeria, Bola Tinubu, turut menolak dakwaan pentadbirannya gagal melindungi kebebasan beragama, sambil menegaskan kerajaannya sentiasa bekerjasama rapat dengan pemimpin Kristian dan Islam sejak 2023 bagi memastikan keselamatan seluruh rakyat tanpa mengira agama.

“Tuduhan bahawa Nigeria tidak toleran terhadap agama adalah tidak benar dan tidak menggambarkan realiti negara kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Penganalisis keselamatan dan kemanusiaan Nigeria, Bulama Bukarti, menegaskan dakwaan Trump tentang “pembunuhan penganut Kristian” adalah naratif ekstrem kanan yang berbahaya dan tidak disokong oleh fakta.

“Kumpulan bersenjata di Nigeria tidak memilih mangsa, mereka menyerang pasar, gereja, masjid dan mana-mana kawasan awam tanpa mengira agama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN