LONDON: Nepal muncul sebagai negara yang penduduknya paling rapat dengan alam semula jadi, menurut satu kajian antarabangsa yang dijalankan oleh Universiti Derby.
Kajian itu menganalisis data daripada 61 negara melibatkan hampir 57,000 responden, dan mendapati tahap keterhubungan dengan alam berbeza secara ketara antara negara.
Namun, hasilnya tidak begitu baik untuk Britain, yang terkenal dengan budaya mencintai kehijauan, apabila negara itu hanya berada di kedudukan ke-55, jauh di bawah senarai berbanding negara-negara seperti Iran, Afrika Selatan, Bangladesh dan Nigeria.
Menurut Prof. Miles Richardson, ketua penyelidik kajian tersebut, hasil itu menggambarkan satu kisah yang jelas.
Dalam blognya Finding Nature, beliau menulis negara seperti Nepal, Iran dan Afrika Selatan berada di tangga teratas dari segi keterhubungan dengan alam semula jadi.
Sementara itu, banyak negara maju termasuk Jerman, Kanada, Jepun dan United Kingdom (UK) berada hampir di bahagian bawah senarai.
Kajian itu menjelaskan tahap keterhubungan yang lebih tinggi dikaitkan dengan kesejahteraan manusia yang lebih baik, serta sikap dan tingkah laku yang lebih mesra alam.
Bagi mendapatkan gambaran menyeluruh, penyelidik menganalisis data daripada 56,968 orang dari 61 negara.
Keputusan menunjukkan banyak negara masih jauh ketinggalan dari segi hubungan manusia dengan alam.
Negara paling rapat dengan alam semula jadi ialah Nepal, diikuti Iran, Afrika Selatan, Bangladesh dan Nigeria. Di hujung senarai pula ialah Sepanyol, diikuti Jepun, Israel, Jerman, Kanada, Belanda dan UK. – AGENSI










