‘Mayat bergelimpangan seperti sampah tepi jalan’

‘Mayat bergelimpangan seperti sampah tepi jalan’

PENDUDUK berpindah dari El-Fasher selepas bandar itu ditawan RSF di Tawila, Sudan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT SUDAN: Suasana ngeri menyelubungi bandar El-Fasher di barat Sudan apabila keluarga terpaksa bersembunyi di dalam parit, kanak-kanak dibunuh di hadapan ibu bapa dan mayat bergelimpangan di jalan ketika kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan kawasan berkenaan.

Lebih 36,000 penduduk awam melarikan diri sejak Ahad lalu selepas RSF menawan kubu terakhir tentera kerajaan di wilayah Darfur, sekali gus mencetuskan amaran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemungkinan berlakunya pembunuhan beramai-ramai.

Sebahagian besar pelarian kini mencari perlindungan di bandar Tawila yang terletak 70 kilometer ke barat El-Fasher. Bandar itu kini menampung lebih 650,000 orang pelarian dalaman yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.

Tiga individu yang terselamat menggambarkan keadaan menakutkan ketika mereka melarikan diri dari El-Fasher yang dikepung RSF selama 18 bulan serta terputus daripada bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Katanya, situasi yang berlaku mengimbau kembali peristiwa genosid di Darfur pada awal 2000-an apabila militia Janjaweed yang kemudiannya berkembang menjadi RSF membakar kampung, membunuh lebih 300,000 penduduk dan memaksa 2.7 juta orang meninggalkan rumah.

Seorang mangsa, Hayat, ibu kepada lima anak, menceritakan bagaimana tujuh anggota RSF memasuki rumahnya selepas pengeboman hebat pada awal pagi Sabtu lalu dan membunuh anak lelakinya yang berusia 16 tahun di hadapannya.

Seorang lagi saksi, Hussein, berkata dia cedera akibat terkena serpihan peluru mortar dan menyaksikan banyak mayat bergelimpangan di jalan ketika melarikan diri.

“Tiada siapa yang dapat mengebumikan mereka. Mayat-mayat bergelimpangan seperti sampah yang dibuang merata-rata,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN