Mamdani dahului perlumbaan sengit Datuk Bandar New York

Mamdani dahului perlumbaan sengit Datuk Bandar New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penduduk New York akan memilih datuk bandar baharu mereka pada Selasa ini selepas kempen pilihan raya yang penuh dramatik dan tidak dijangka, menarik perhatian ramai di luar bandar terbesar Amerika Syarikat (AS) itu termasuk Presiden, Donald Trump yang menuduh calon utama, Zohran Mamdani, sebagai ‘komunis’.

Calon Parti Demokrat yang mencipta kejutan, Mamdani seorang rakyat AS beragama Islam kelahiran luar negara yang kini mewakili daerah Queens dalam badan perundangan negeri, mendahului bekas gabenor Andrew Cuomo, yang bertanding sebagai calon bebas selepas tewas kepada Mamdani dalam pemilihan parti.

Calon Parti Republikan yang berada di tempat ketiga ialah Curtis Sliwa, 71, seorang tokoh eksentrik yang terkenal sebagai pengasas kumpulan rondaan sukarela Guardian Angels, personaliti radio prolifik dan pencinta kucing.

Tinjauan terbaru oleh Universiti Quinnipiac dijalankan antara 23 hingga 27 Oktober menunjukkan Mamdani meraih 43 peratus sokongan pengundi, diikuti Cuomo dengan 33 peratus dan Sliwa ,14 peratus.

Kempen pilihan raya kali ini banyak tertumpu pada isu kos sara hidup, kadar jenayah dan cara calon akan menangani ancaman Trump, yang sebelum ini memberi amaran akan menarik balik dana persekutuan untuk bandar itu.

“Mamdani ialah figura politik yang luar biasa dan benar-benar mencerminkan semangat masa kini.

“Ini masa di mana suara lantang anti-Trump dari bandar terbesar AS akan menjadi berita utama.

“Terus terang, calon beragama Islam yang bertanding untuk jawatan Datuk Bandar New York adalah satu kisah besar,” kata Pakar Sains Politik di Universiti Columbia, Prof. Lincoln Mitchell, kepada AFP.

Mamdani, 34, mengecam lawannya kerana menggunakan retorik berunsur Islamofobia, sambil menuduh kedua-dua parti besar Demokrat dan Republikan menyuburkan sentimen anti-Muslim yang sudah berakar dalam masyarakat bandar ini.

Menurut data Lembaga Pilihan Raya New York City, sebanyak 275,006 pengundi berdaftar Demokrat, 46,115 Republikan dan 42,383 pengundi bebas mengundi dalam tempoh lima hari pertama undian awal yang berakhir pada 2 November. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN