MICHIGAN: Beberapa individu yang dipercayai merancang serangan keganasan ketika sambutan Halloween hujung minggu lalu ditahan dalam satu operasi khas di negeri ini, kata Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel.
Patel dalam kenyataannya di media sosial berkata, tangkapan berkenaan dilakukan di kawasan pinggir bandar Detroit dan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut dua individu yang rapat dengan siasatan itu, rancangan serangan tersebut dipercayai berunsur fahaman ekstremis Daesh, dan pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan suspek telah dipengaruhi secara dalam talian.
Sumber yang enggan dikenali itu memaklumkan kepada The Associated Press (AP), beberapa kenderaan FBI dan polis negeri dikesan berada berhampiran Sekolah Tinggi Fordson di Dearborn.
Beberapa pegawai FBI dilihat keluar masuk dari sebuah rumah sambil mengumpul bahan bukti termasuk beg kertas dari sebuah trak khas.
Jurucakap FBI Detroit, Jordan Hall berkata, pasukan penyiasat turut dikerahkan ke kawasan Inkster, satu lagi bandar berhampiran.
“Tiada ancaman semasa terhadap keselamatan awam,” katanya ringkas.
Siasatan bermula selepas pihak berkuasa mengesan perbualan mencurigakan dalam sebuah bilik sembang atas talian yang disertai oleh beberapa suspek.
Mereka dikatakan membincangkan rancangan untuk melancarkan serangan pada sambutan Halloween, yang dirujuk sebagai “hari labu”.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan rancangan itu dan ekoran daripada ancaman tersebut, FBI bertindak menahan kesemua suspek pada Jumaat lalu.
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer dalam satu hantaran di platform X mengesahkan telah dimaklumkan mengenai operasi itu dan berterima kasih atas tindakan pantas pihak keselamatan. -AGENSI










