OHIO: Seorang lelaki di Ohio meninggal dunia akibat sembelit teruk selepas 8.9 kilogram najis tersumbat dalam ususnya.
Keluarga James Stewart, 41, kini memfailkan saman kecuaian terhadap pusat jagaannya selepas lelaki itu tidak membuang air besar selama sebulan selain mendakwa kematiannya boleh dielakkan.
Mereka menuduh pekerja di pusat jagaan Clear Skies Ahead di Bazetta Township mengabaikan tanda-tanda jelas, termasuk perut kembung serta tingkah laku pelik, sebelum Stewart meninggal dunia pada 15 November 2024.
Dokumen mahkamah menyatakan James tidak membuang air besar selama beberapa minggu hingga hampir sebulan. Lelaki itu tinggal di pusat berkenaan kerana memerlukan pemantauan dan sokongan 24 jam.
Menurut laporan, Stewart mengalami ketidakupayaan intelektual dan perkembangan serta mempunyai sejarah sembelit kronik.
Stewart juga mengambil ubat yang diketahui menyebabkan komplikasi serius pada sistem pencernaan. Walaupun bergelut dengan masalah kesihatan, James dikenali sebagai seorang yang gemar muzik, berenang dan menonton acara sukan.
Tuntutan saman keluarga mendakwa aduan lelaki itu mengenai sembelit telah diketepikan oleh penjaganya. Pekerja dikatakan menyedari James kelihatan tidak sihat dan berkelakuan luar biasa sebelum insiden tragis itu.
Saman tersebut menggambarkan Stewart sebagai murung, kurang tenaga dan mengadu sakit, selain perutnya mengembung dan terdapat kesan lebam pada bahagian abdomen.
Peguam keluarga, Matt Mooney, berkata sejarah kesihatan Stewart sudah lama diketahui oleh pihak pusat jagaan.
“Mereka sepatutnya memantau keadaan James dan memastikan dia membuang air besar secara teratur, tetapi itu tidak dilakukan. Mereka tahu risikonya, namun tetap mengabaikannya,” katanya.
Pada 15 November, seorang petugas mengarahkan James duduk di tandas, namun tidak lama kemudian dia rebah sebelum disahkan meninggal dunia.










