NEW DELHI: Mahkamah Agung India memaklumkan laporan awal mengenai nahas pesawat Air India yang mengorbankan 260 nyawa pada Jun lalu, tidak menunjukkan sebarang kesalahan terhadap juruterbang pesawat.
Namun, mahkamah akan mendengar permohonan bapa juruterbang terbabit pada 10 November bagi menubuhkan siasatan bebas terhadap tragedi itu.
Permohonan itu difailkan oleh Pushkar Raj Sabharwal, 91, yang mahu siasatan dijalankan oleh panel pakar penerbangan diketuai bekas hakim Mahkamah Agung, selepas beliau sebelum ini mengkritik siasatan kerajaan.
Sabharwal mendakwa, dua pegawai dari Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) yang menemuinya memberi bayangan anaknya, juruterbang Sumeet Sabharwal, mematikan bekalan bahan api kepada enjin pesawat selepas berlepas.
Kerajaan menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan siasatan yang dijalankan sebagai ‘sangat telus’ dan menyeluruh.
Badan Siasatan Kemalangan Udara India sebelum ini menerbitkan laporan sementara pada awal tahun 2025 yang menyatakan suis enjin bahan api pesawat berkenaan bertukar hampir serentak daripada mod ‘run’ kepada ‘cut-off’ sejurus selepas pesawat berlepas.- AGENSI










