BANGKOK: Banjir meluas di sepuluh wilayah selatan Thailand menjejaskan lebih 1.9 juta orang, dengan kerugian ekonomi dalam perdagangan dan pelancongan mencecah sehingga 1.5 juta baht (RM192 juta) sehari.
Menurut Universiti Dewan Perdagangan Thailand, pelancongan di negara itu terjejas teruk apabila ramai pelancong Malaysia membatalkan semua lawatan ke selatan Thailand atas sebab keselamatan.
Banjir terus merebak merangkumi 92 daerah, 581 subdaerah dan 4,146 kampung, dengan daerah Hat Yai di Songkhla antara yang paling teruk terjejas.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul berkata, kerajaan mengarahkan semua agensi untuk menggerakkan mesin pam air dan generator bagi membantu komuniti terjejas. Beliau menjangkakan keadaan akan beransur pulih minggu ini.
“Jumlah hujan yang tinggi menyebabkan banjir kerana air tidak sempat mengalir, ditambah aliran dari daerah Sadao. Air banjir kini merebak ke tiga wilayah sempadan selatan, di mana gabenor sudah mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan,” katanya.
Kabinet pada Ahad meluluskan rangka kerja awal bantuan dan peruntukan bajet untuk mangsa banjir dengan gabenor wilayah diarah mempercepatkan pengesahan keluarga layak bagi mengelakkan kelewatan.
Setiap keluarga yang terjejas menerima bantuan berjumlah 9,000 baht (RM1,152), merangkumi kerosakan akibat banjir, tanah runtuh, harta benda dan tempoh banjir yang panjang sehingga menghalang kerja selama tujuh hari.
Presiden dan Penasihat Utama Pusat Peramal Ekonomi dan Perniagaan Universiti Dewan Perdagangan Thailand, Thanavath Phonvichai berkata, kerugian di 10 wilayah selatan Thailand itu sangat besar memandangkan wilayah terbabit sangat bergantung kepada sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Katanya, sekiranya banjir berlanjutan sehingga sebulan, jumlah kerugian boleh mencapai 15 bilion baht (RM1.9 bilion) berikutan musim kedatangan pelancong antarabangsa yang biasanya meningkat sepanjang hujung tahun.-AGENSI










