TEHERAN: Pihak berkuasa Iran melancarkan operasi pembenihan awan untuk merangsang hujan selepas negara itu berdepan kemarau terburuk dalam beberapa dekad, menurut media rasmi.
Video yang disiarkan oleh media tempatan pada Ahad menunjukkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan, tetapi tidak jelas sama ada ia berkait dengan operasi pembenihan awan tersebut.
“Hari ini, penerbangan pembenihan awan dijalankan di lembangan Tasik Urmia buat kali pertama dalam tahun air semasa,” menurut agensi berita rasmi IRNA lewat Sabtu.
Urmia yang terletak di bahagian barat laut adalah tasik terbesar Iran tetapi hampir kering dan bertukar menjadi kawasan tanah garam yang luas akibat kemarau.
IRNA melaporkan, operasi selanjutnya akan dijalankan di wilayah Azerbaijan Timur dan Barat.
Pembenihan awan itu melibatkan penyemburan zarah seperti iodida perak dan garam ke dalam awan dari pesawat untuk merangsang hujan.
Tahun lalu, Iran mengumumkan berjaya membangunkan teknologi sendiri untuk tujuan ini.
Pada Sabtu, IRNA melaporkan hujan turun di Ilam, Kermanshah, Kurdistan dan Lorestan di bahagian barat, serta di wilayah Azerbaijan Barat di barat laut.
Menurut organisasi meteorologi negara, jumlah hujan tahun ini berkurangan kira-kira 89 peratus berbanding purata jangka panjang.
“Kita kini mengalami musim luruh paling kering dalam 50 tahun,” tambahnya.
Media rasmi menyiarkan rakaman salji yang turun di Gunung dan pusat peranginan ski Tochal berhampiran Teheran di banjaran Alborz buat kali pertama tahun ini.
Iran bertahun-tahun menghadapi kemarau kronik dan gelombang haba yang dijangka bertambah buruk akibat perubahan iklim.
Jumlah hujan di ibu kota Teheran berada pada tahap terendah dalam satu abad, menurut pegawai tempatan dan separuh daripada wilayah Iran tidak menerima hujan selama beberapa bulan.
Paras air di empangan yang membekalkan banyak wilayah jatuh ke tahap rekod terendah.
Awal bulan ini, Presiden, Masoud Pezeshkian memberi amaran, tanpa hujan sebelum musim sejuk, Teheran mungkin terpaksa dipindahkan walaupun beliau tidak memberi penjelasan lanjut.-AFP










