TOKYO: Jepun mengeluarkan amaran tsunami pada Ahad selepas gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda kawasan pesisir Pasifik utara negara itu.
Gempa itu berlaku sekitar pukul 5.03 petang (waktu tempatan) di perairan berhampiran wilayah Iwate, mendorong Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami setinggi sehingga satu meter.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula menganggarkan kekuatan gempa itu pada 6.8 magnitud.
“Amaran tsunami dikeluarkan bagi pantai Iwate. Ombak boleh tiba pada bila-bila masa,” kata JMA dalam satu buletin
Penyiar kebangsaan NHK melaporkan gelombang tsunami di perairan dikesan dan menggesa penduduk supaya menjauhi kawasan pantai.
Siaran langsung di televisyen Jepun menunjukkan keadaan laut yang masih tenang.
Kawasan itu dibayangi kenangan tragedi besar pada 2011 apabila gempa bumi dasar laut berukuran 9.0 magnitud mencetuskan tsunami yang meragut kira-kira 18,500 nyawa dan ramai hilang.
Tsunami tersebut turut menyebabkan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima meletup, menjadikan ia bencana terburuk di Jepun selepas perang serta kemalangan nuklear paling parah di dunia sejak tragedi Chernobyl.
Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat Lingkaran Api” Pasifik dan merupakan antara negara paling aktif dari segi gempa bumi di dunia.
Negara kepulauan itu, yang dihuni sekitar 125 juta penduduk mengalami kira-kira 1,500 gegaran setiap tahun.
Kebanyakan gempa itu berskala kecil, namun tahap kerosakan yang berlaku bergantung kepada lokasi dan kedalaman gempa di bawah permukaan bumi.-AFP










