Jakarta haramkan jualan daging kucing, anjing bendung rabies

Jakarta haramkan jualan daging kucing, anjing bendung rabies

SEORANG pekerja memberi makan anjing liar yang diselamatkan dari restoran menjual hidangan daging haiwan itu di Jakarta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ibu negara Indonesia, Jakarta mengharamkan penjualan dan pengambilan daging anjing, kucing dan kelawar bagi mencegah penularan penyakit rabies, sekali gus memberi kelegaan kepada kumpulan pejuang hak haiwan.

“Saya sudah menandatangani peraturan yang melarang penjualan haiwan pembawa rabies untuk tujuan makanan,” kata Gabenor Jakarta, Pramono Anung dalam satu kenyataan di media sosial, sebulan selepas beliau berjanji untuk berbuat demikian.

Peraturan yang ditandatangani pada Isnin itu memperuntukkan tempoh kelonggaran selama enam bulan sebelum ia dikuatkuasakan.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan, daripada amaran bertulis sehingga penarikan balik lesen perniagaan.

Pramono berkata, larangan itu meliputi haiwan hidup, daging atau produk lain, sama ada mentah atau diproses dan mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan haiwan pembawa rabies yang bertujuan sebagai makanan.

Indonesia adalah antara segelintir negara yang masih membenarkan penjualan daging anjing dan kucing, namun kempen menentang amalan itu semakin berkembang dengan beberapa bandar mengenakan larangan tempatan terhadap perdagangan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Aktivis hak haiwan menyambut baik larangan yang dikuatkuasakan di Jakarta itu sebagai satu langkah tepat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), puluha rakyat Indonesia meninggal dunia akibat rabies setiap tahun. Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan 25 kematian antara Januari hingga Mac 2025.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN