BANGKOK: Seorang ahli Parlimen pembangkang menuduh isteri Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengancam media selepas beliau menegur sekumpulan wartawan kerana didakwa bersikap ‘terlalu kejam’ terhadap suaminya.
Ahli Parlimen Parti Rakyat, Pukkamon Nunarnan mengulas mengenai satu rakaman video pertemuan singkat antara Thananon Niramit, isteri perdana menteri dan beberapa wartawan yang menemu bual Anutin sejurus beliau pulang dari Malaysia pada Selasa malam.
Setibanya di Pangkalan Tentera Udara Wing 6, Don Mueang, Anutin ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini yang didakwa mengakui rakyat Thailand menceroboh tanah di wilayah Kemboja.
Anutin menjelaskan beliau merujuk kepada kawasan pertikaian antara Thailand dan Kemboja, serta menegaskan kedua-dua negara perlu mematuhi perjanjian sedia ada. Beliau turut memohon maaf sekiranya kenyataannya sebelum ini menimbulkan kekeliruan.
Wartawan kemudiannya bertanya mengenai perjanjian melibatkan bahan mineral kritikal dan rangka kerja perdagangan yang ditandatanganinya dengan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, termasuk laporan tentang hasrat Thailand membeli 80 pesawat AS bernilai 8.8 bilion baht (RM1.14 billion)
Mereka turut menyoal berhubung dakwaan seorang ahli Parlimen parti gabungan menerima wang daripada kumpulan penipu. Anutin menamatkan sesi itu dengan alasan mempunyai jadual yang padat.
Beberapa saat selepas beliau beredar dari balai ketibaan, isterinya Thananon berjalan keluar dan sempat menyapa wartawan dengan senyuman serta memberi komen ringkas.
“Kenapa kamu begitu kejam terhadap perdana menteri? Lain kali saya akan ingat… Ini sudah keterlaluan,” katanya sambil tersenyum menuju ke pintu keluar terminal.
Pukkamon dalam satu kenyataan berkata, walaupun nada Thananon kelihatan tenang dan seolah-olah bergurau, kenyataannya boleh ditafsirkan sebagai bentuk ancaman terhadap kebebasan media yang menjalankan tugas mencari kebenaran untuk kepentingan awam.
Menurutnya, sekiranya seseorang pemimpin berasa terancam dengan soalan wartawan, beliau mempunyai hak untuk menjelaskan perkara itu secara terus di tempat kejadian bukan melalui campur tangan ahli keluarga.










