BAITULMUQADDIS: Israel pada Isnin mengesahkan sisa mayat yang diserahkan oleh Hamas semalam adalah milik tiga tebusan yang diculik kumpulan pejuang itu dalam serangan pada 7 Oktober 2023.
Penyerahan sisa mayat itu dibuat sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sedang berlangsung kini.
“Selepas proses pengecaman selesai, wakil Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan kepada keluarga tebusan yang terbunuh bahawa orang tersayang mereka sudah dibawa pulang ke Israel dan dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.
Sisa mayat tersebut dikenal pasti milik warga Amerika-Israel berusia 21 tahun ketika diculik, Kapten Omer Neutra; Korporal Oz Daniel, 19; dan pegawai berpangkat tertinggi yang terbunuh oleh serangan Hamas, Kolonel Assaf Hamami, 40.
Hamas menyerahkan sisa mayat berkenaan pada Ahad melalui Palang Merah.
Sayap bersenjata Hamas berkata, pihaknya menemukan mayat tersebut lebih awal pada Ahad di sepanjang laluan satu terowong di selatan Semenanjung Gaza.
Hamas menahan 48 tebusan di Gaza ketika gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, termasuk 20 yang masih hidup.
Sejak bermulanya gencatan senjata, Hamas sudah membebaskan kesemua 20 tebusan yang masih hidup dan mula menyerahkan sisa mayat 28 tebusan yang meninggal dunia.
Daripada jumlah itu, kumpulan itu sudah menyerahkan 20 setakat ini, termasuk 18 warga Israel, seorang warga Thailand dan seorang warga Nepal.
Israel menuduh Hamas melengah-lengahkan pemulangan mayat, manakala kumpulan Palestin itu berkata, proses tersebut perlahan kerana banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan di Gaza.
Hamas berulang kali menyeru para pengantara dan Palang Merah supaya menyediakan peralatan dan tenaga kerja diperlukan untuk mengeluarkan mayat-mayat tersebut.-AFP










