TEL AVIV: Knesset Israel meluluskan rang undang-undang dalam bacaan awal yang akan memberi kuasa kawalan lebih besar ke atas sektor media.
Menurut kenyataan Knesset, draf undang-undang tersebut memperkenalkan reformasi menyeluruh dalam bidang pengawalseliaan penyiaran, termasuk penubuhan satu badan pengawal selia baharu bagi menggantikan Majlis Penyiaran Kabel dan Satelit serta Pihak Berkuasa Kedua bagi Televisyen dan Radio.
Seramai 54 anggota Knesset mengundi menyokong rang undang-undang tersebut, manakala 47 menentangnya, kata kenyataan itu.
Di bawah sistem perundangan Israel, sesuatu rang undang-undang perlu melalui tiga bacaan sebelum menjadi undang-undang.
Penyiar awam Israel, KAN memetik penganalisis berkata, walaupun rang undang-undang tersebut digambarkan sebagai usaha untuk meliberalisasikan sektor media, ia mungkin memberikan pentadbiran pengaruh lebih besar ke atas kandungan berita, sekali gus menimbulkan cabaran politik dan undang-undang terhadap kebebasan media dalam jangka panjang.
Israel mempunyai kawalan ketat terhadap media yang dilaksanakan melalui sistem dikenali sebagai ‘penapisan ketenteraan’, satu set undang-undang dan peraturan yang membenarkan tentera dan perkhidmatan keselamatan menyekat penerbitan sebarang maklumat yang dianggap memudaratkan keselamatan atau mendedahkan maklumat sensitif.-AGENSI










