Israel dakwa imam al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri atas tuduhan menghasut

Israel dakwa imam al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri atas tuduhan menghasut

SHEIKH EKRIMA SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel memulakan perbicaraan terhadap imam Masjid al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri, atas dakwaan menghasut dengan sesi pendengaran pertama berlangsung pada Selasa.

Pertuduhan yang difailkan pada Ogos tahun lalu itu berkaitan dua ucapan takziah yang disampaikan beliau pada 2022, serta kenyataan beliau meratapi kematian bekas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh pada 2024.

Pasukan pembelaan Sabri menyifatkan kes berkenaan sebagai sebahagian daripada pola lebih besar melibatkan tindakan pendakwaan bermotif politik, agama dan ideologi oleh pihak berkuasa Israel terhadap beliau sejak beberapa tahun lalu.

Ketua pasukan guaman Sabri, Khaled Zabarka, berkata kes tersebut adalah penjelmaan kepada bentuk pendakwaan perkauman yang disasarkan terhadap imam berkenaan.

Menurutnya, tindakan Israel itu merupakan usaha lebih meluas untuk membungkam pemimpin masyarakat dan agamawan yang lantang menentang pendudukan Israel.

“Sabri adalah simbol penting. Beliau tegas mempertahankan hak Islam terhadap Masjid al-Aqsa dan aktif memperjuangkan isu Palestin secara umum,” kata Zabarka.

Tambahnya lagi, tindakan tersebut adalah cubaan untuk mengubah kesedaran awam Palestin dengan menyenyapkan suara-suara berpengaruh.

Sabri, 86, merupakan bekas Mufti Besar Baitulmaqdis, Pengerusi Majlis Islam Tertinggi, serta antara imam kanan Masjid al-Aqsa.

Sejak awal 1970-an, beliau menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, dan telah beberapa kali ditahan pasukan keselamatan Israel dan perbicaraan terbaharu ini berlaku di tengah-tengah peningkatan tindakan keras terhadap rakyat Palestin di kawasan masjid suci tersebut.

Pasukan keselamatan Israel dilaporkan semakin kerap mengenakan sekatan terhadap kemasukan rakyat Palestin ke Masjid al-Aqsa, sambil membenarkan kumpulan pelampau Israel memasuki kawasan itu dalam jumlah yang lebih besar.

Pihak berkuasa Israel turut mengharamkan puluhan individu daripada memasuki kawasan berkenaan, termasuk ramai imamnya, khususnya Sabri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN