BISSAU: Pegawai tentera di Guinea-Bissau merampas kawalan sepenuhnya ke atas negara Afrika Barat yang sering bergolak itu, menahan Presidennya, menutup sempadan negara dan menggantung proses pemilihan pemimpin tiga hari selepas pilihan raya umum diadakan.
Tembakan kuat kedengaran berhampiran Istana Presiden awal pagi, dengan lelaki berseragam tentera mengambil alih jalan utama yang menuju ke bangunan tersebut.
Pada awal petang semalam, Ketua Pejabat Ketenteraan Presiden, Jeneral Denis N’Canha memberitahu wartawan, satu perintah yang terdiri daripada semua cabang angkatan bersenjata sudah mengambil alih kawalan negara itu sehingga diberitahu kelak.
Beliau membacakan pengumuman itu dalam keadaan duduk di meja dan dikelilingi oleh askar bersenjata.
Dalam kenyataannya, N’Canha mendakwa satu rancangan dikesan untuk menggugat kestabilan Guinea-Bissau yang melibatkan ketua-ketua kartel dadah tempatan, termasuk kemasukan senjata ke dalam negara bagi mengubah susunan Perlembagaan.
Selain menghentikan keseluruhan proses pilihan raya, beliau berkata, pasukan tentera menggantung semua siaran media, menutup sempadan darat, udara dan laut, serta mengenakan perintah berkurung mandatori.
Menurut sumber tentera, Presiden, Umaro Sissoco Embalo yang sebelum ini dianggap sebagai calon pilihan untuk memenangi pilihan raya semula dalam undian Ahad lalu, ditahan dan kini ditempatkan di ibu pejabat staf am di mana beliau didakwa sedang dilayan dengan baik.
Seorang pegawai kanan yang turut mengesahkan penahanan itu berkata, Embalo ditahan bersama ketua staf dan menteri dalam negeri.
Ketua pembangkang, Domingos Simoes Pereira yang dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya Presiden hujung minggu lalu oleh Mahkamah Agung, turut ditahan pada Rabu, menurut dua sumber yang rapat dengannya.
Guinea-Bissau sudah berdepan empat rampasan kuasa sejak merdeka, selain beberapa percubaan rampasan kuasa yang lain.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan, pihaknya sedang memerhati perkembangan di negara itu dengan penuh kebimbangan sambil menggesa semua pihak menunjukkan sikap bertenang dan menghormati kedaulatan undang-undang.
Bekas kuasa penjajah negara itu, Portugal, turut menggesa agar proses pilihan raya disambung semula dan menolak sebarang bentuk keganasan institusi atau sivik.
Rantau Afrika Barat sejak kebelakangan ini menyaksikan beberapa rampasan kuasa, termasuk di Mali, Burkina Faso, Niger dan Guinea, yang menyaksikan kerajaan masing-masing digulingkan.










