KABUL: Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter melanda utara Afghanistan lewat malam Ahad hingga awal pagi Isnin, menurut laporan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa itu berlaku kira-kira dua bulan selepas gegaran kuat di timur negara itu meragut lebih 2,200 nyawa.
USGS melaporkan gempa terbaharu itu berpusat di daerah Kholm, berhampiran bandar Mazar-i-Sharif, pada kedalaman 28 kilometer. Gegaran turut dirasai oleh wartawan AFP di ibu negara, Kabul.
Pihak berkuasa tempatan menyediakan nombor kecemasan bagi membantu mangsa, namun setakat ini tiada laporan rasmi mengenai kematian atau kecederaan dilaporkan.
Di Mazar-i-Sharif, ramai penduduk dilihat keluar ke jalan raya pada waktu malam kerana bimbang rumah mereka akan runtuh.
Kerajaan Taliban, yang kembali berkuasa sejak 2021, berdepan beberapa bencana gempa besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2023, gempa bumi di wilayah Herat di sempadan Iran meragut lebih 1,500 nyawa dan memusnahkan lebih 63,000 kediaman.
Pada 31 Ogos tahun ini, satu lagi gempa cetek berukuran 6.0 magnitud menggegarkan timur Afghanistan dan mengorbankan lebih 2,200 orang, menjadikannya gempa paling dahsyat dalam sejarah moden negara itu.
Afghanistan yang terletak di kawasan pertemuan plat tektonik Eurasia dan India sering dilanda gempa bumi, khususnya di sekitar banjaran Hindu Kush. Negara itu kini berdepan pelbagai krisis termasuk kemiskinan melampau, kemarau teruk serta kemasukan jutaan pelarian yang dipulangkan oleh Pakistan dan Iran.










