URUAPAN: Datuk Bandar Uruapan, Carlos Alberto Manzo Rodríguez ditembak mati ketika menghadiri sambutan Hari Orang Mati pada Sabtu di negeri Michoacán, Mexico, dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada pendiriannya yang tegas menentang kartel dadah.
Menurut pihak berkuasa keselamatan negara, Manzo diserang di kawasan pusat bandar bersejarah Uruapan ketika orang ramai menghadiri acara kebudayaan tahunan itu. Beliau cedera parah dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Dalam kenyataan rasmi, dua suspek ditahan manakala seorang lagi penyerang maut di tempat kejadian. Siasatan awal menunjukkan serangan itu dirancang rapi, dipercayai dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang yang beroperasi di wilayah berkenaan.
Manzo, yang dikenali kerana lantang menentang pengaruh kartel dadah, sebelum ini kerap mengkritik strategi keselamatan kerajaan persekutuan serta menuntut tindakan tegas terhadap kumpulan bersenjata yang menguasai kawasan perladangan dan perniagaan tempatan, termasuk industri avokado yang bernilai berbilion dolar.
Beliau pernah mengakui sedar akan ancaman terhadap dirinya akibat sikap terbuka menentang kartel, namun tetap berpegang pada prinsip untuk melindungi rakyat serta mengembalikan keamanan di Uruapan. “Saya tahu risikonya, tetapi saya tidak akan tunduk kepada ketakutan,” katanya dalam satu wawancara sebelum ini.
Michoacán merupakan antara negeri paling terjejas akibat keganasan kartel dadah di Mexico, dengan puluhan pegawai awam dan pemimpin tempatan menjadi mangsa pembunuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pembunuhan Manzo mencetuskan kebimbangan baharu mengenai keselamatan pemimpin politik di Mexico.
Organisasi hak asasi manusia serta kumpulan masyarakat sivil menyeru kerajaan persekutuan menjalankan siasatan menyeluruh dan memperkukuh perlindungan kepada pemimpin yang berani menentang jenayah terancang.










