Bolsonaro cuba larikan diri, patahkan gelang pemantau

Bolsonaro cuba larikan diri, patahkan gelang pemantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASÍLIA: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang berada dalam tahanan rumah sementara menunggu rayuan berhubung sabitan cubaan rampasan kuasa ditahan semula di penjara oleh pihak berkuasa selepas Mahkamah Agung negara menganggap beliau berisiko tinggi untuk melarikan diri.

Mahkamah Agung memaklumkan tokoh sayap kanan itu yang dijatuhi hukuman 27 tahun penjara kerana merancang  menggagalkan pelantikan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva selepas pilihan raya 2022, didapati cuba memusnahkan alat pengesan di pergelangan kakinya dalam usaha melarikan diri.

Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes berkata, penahanan itu adalah langkah pencegahan sementara proses rayuan peringkat akhir sedang berjalan.

Dalam satu rakaman video yang didedahkan mahkamah, Bolsonaro mengakui menggunakan besi pematerian terhadap alat pengesan itu atas alasan ‘ingin tahu’.

Rakaman berkenaan menunjukkan peranti tersebut rosak teruk dan terbakar, namun masih melekat di kakinya.

Bolsonaro, 70, yang memerintah Brazil dari 2019 hingga 2022, diletakkan di bawah tahanan rumah sejak Ogos dan ditempatkan di sebuah kondominium mewah di Brasília.

Moraes dalam keputusannya berkata, satu perhimpunan yang dirancang di luar kondominium itu yang digerakkan anak sulungnya, Senator, Flavio Bolsonaro boleh mencetuskan kekacauan dan mewujudkan ruang untuk beliau melarikan diri.

Hakim itu menyatakan, percubaan memusnahkan alat pengesan berlaku awal Sabtu sebagai sebahagian rancangan untuk melancarkan usaha melarikan diri dengan memanfaatkan kekeliruan akibat perhimpunan yang dirancang anaknya.

Moraes memberi tempoh 24 jam kepada pasukan peguam Bolsonaro untuk menjelaskan insiden itu.

Mahkamah turut menekankan rumah Bolsonaro berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan risiko beliau cuba mendapatkan suaka politik.

Bolsonaro, bekas kapten tentera, merupakan sekutu rapat Presiden AS, Donald Trump, yang menyifatkan perbicaraan terhadapnya sebagai pendakwaan politik serta mengenakan tarif dan sekatan ke atas Brazil.

Bolsonaro dibawa ke kompleks polis persekutuan di Brasília untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dipindahkan ke penjara.

Sumber yang rapat dengan kes itu menghantar video menunjukkan bilik kecil tempat Bolsonaro ditempatkan, dilengkapi televisyen, penghawa dingin dan peti sejuk mini.

Sepanjang pemerintahannya, Bolsonaro dipuji atas dasar ekonomi tetapi dikritik hebat kerana kadar penebangan hutan Amazon yang melonjak serta sikapnya yang memperlekehkan Covid-19 sebagai selesema kecil.

Beliau disabitkan kesalahan pada September kerana mengetuai sebuah organisasi jenayah yang merancang mengekalkan kuasa secara autoritarian, termasuk dakwaan plot membunuh Lula, Naib Presiden, Geraldo Alckmin dan Moraes. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN