AS nafi pelan damai Ukraine dirangka ikut kehendak Russia

AS nafi pelan damai Ukraine dirangka ikut kehendak Russia

ORANG awam memeriksa kereta yang musnah di kawasan parkir sebuah stesen servis kereta, susulan serangan udara Russia di Odesa.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Washington menegaskan cadangan Amerika Syarikat (AS) mengenai Ukraine sememangnya merupakan dasar rasmi negara, sekali gus menafikan dakwaan sekumpulan senator berhubung dokumen itu hanyalah ‘senarai impian’ Russia.

Pertikaian mengenai pelan 28 perkara itu, menyerahkan wilayah Ukraine yang sekian lama diimpikan Moscow, menimbulkan kekeliruan dalam usaha rundingan untuk mengakhiri perang.

Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan menekan pihak Ukraine untuk menerima pelan tersebut dalam tempoh beberapa hari.

Namun selepas menerima kritikan hebat kerana cadangan itu hampir sepenuhnya memihak Moscow, beberapa senator AS tampil bersuara dengan mengadakan sidang media di Forum Keselamatan Antarabangsa Halifax di Nova Scotia, Kanada pada Sabtu.

Senator Republikan, Mike Rounds, Senator bebas, Angus King dan wakil Demokrat, Jeanne Shaheen berkata, Setiausaha Negara, Marco Rubio memberitahu mereka cadangan semasa mengenai Ukraine bukanlah pendirian rasmi AS, sebaliknya hanya mencerminkan kehendak Russia.

“Apa yang Rubio beritahu kami ialah ini bukan cadangan AS. Ia adalah cadangan yang diterima oleh seseorang, yang mewakili Russia dalam cadangan ini.

“Ia diserahkan kepada Witkoff. Ia bukan saranan kami, bukan pelan keamanan kami,” kata Rounds, merujuk kepada utusan diplomatik Trump, Steve Witkoff.

Pelan tersebut menetapkan Kyiv untuk menyerahkan wilayah, mengecilkan saiz tenteranya dan berikrar tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Trump pada Sabtu mendakwa, pelan itu bukan tawaran terakhirnya dan berharap dapat menghentikan pertikaian sama ada dengan cara tersebut atau pendekatan lain.

Pada mesyuarat di Geneva semalam, negara-negara Eropah berminat untuk mencadangkan perubahan kepada pelan Trump, yang digambarkan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai asas kepada penyelesaian konflik itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN