AS dakwa UAE bekal senjata canggih kepada RSF, punca keganasan berterusan - Utusan Malaysia

AS dakwa UAE bekal senjata canggih kepada RSF, punca keganasan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) membekalkan senjata canggih, termasuk dron buatan China, kepada kumpulan paramilitari Rapid Support Forces (RSF) di Sudan, yang didakwa bertanggungjawab terhadap kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Darfur.

Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang diterbitkan pada awal minggu ini, agensi risikan AS mengesahkan UAE menghantar bekalan senjata yang semakin meningkat, termasuk dron canggih buatan China kepada satu kumpulan militia utama di Sudan, sekali gus memperkukuh pasukan yang dituduh melakukan genosid dan memburukkan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Laporan berkenaan turut memetik dapatan berasingan oleh Agensi Risikan Pertahanan (DIA) dan Biro Penyelidikan dan Risikan Jabatan Negara AS yang menunjukkan peningkatan penghantaran senjata dari UAE kepada RSF sejak musim bunga lalu, termasuk senjata ringan, mesingan berat, kenderaan, artileri, mortar dan peluru.

Seorang pegawai kanan AS yang dipetik dalam laporan itu melahirkan rasa kecewa terhadap peranan Abu Dhabi.

“Satu-satunya sebab RSF masih berperang ialah kerana sokongan ketenteraan besar-besaran yang mereka terima daripada UAE,” kata Cameron Hudson, bekas ketua staf kepada beberapa utusan khas Presiden AS untuk Sudan.

RSF, yang mendapat sokongan UAE, berasal daripada militia Janjaweed yang terkenal dengan pembunuhan beramai-ramai di Darfur dua dekad lalu dan Jabatan Negara AS mendakwa kumpulan itu melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk rogol serta pembunuhan sistematik terhadap lelaki, kanak-kanak dan bayi berdasarkan etnik.

Menurut WSJ, kempen terbaharu RSF tahun ini menyaksikan serangan besar-besaran di Darfur Utara, di mana kumpulan itu mengetatkan kepungan selama 18 bulan ke atas bandar El Fasher, menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Pegawai AS memberitahu WSJ imej medan perang serta risikan komunikasi mengesahkan aliran senjata dari Emiriah, termasuk dron siri Rainbow buatan China yang mampu terbang selama 24 jam dan melancarkan serangan tepat.

Maklumat risikan setakat Oktober lalu menunjukkan senjata itu dihantar melalui Somalia dan Libya sebelum dibawa ke Sudan melalui jalan darat, menurut pegawai AS, Eropah dan Arab.

UAE sebelum ini menafikan tuduhan membekalkan senjata ke Sudan selepas penghantaran kargo melalui Chad pada 2023 terbongkar, dengan alasan kononnya bantuan itu bersifat kemanusiaan.

Penganalisis berpendapat UAE meletakkan taruhan terhadap RSF bagi menjamin kepentingan jangka panjangnya di Sudan sebuah negara yang mempunyai kedudukan strategik di Laut Merah dan kaya dengan sumber emas, yang sebahagian besarnya dieksport ke Dubai.

Hubungan kedua-dua negara mula tegang selepas kerajaan Sudan membatalkan perjanjian pembinaan pelabuhan bernilai AS$6 bilion (RM25 bilion) dengan UAE pada tahun lalu.

Tambah WSJ lagi, tindakan UAE itu mengecewakan usaha AS untuk mengekang konflik di Sudan manakala penganalisis Barat menyifatkan langkah negara Teluk itu mencerminkan pola yang lebih luas.

“Dalam kawasan yang terpecah-belah seperti ini, kelemahan tadbir urus dan rasuah membolehkan sebuah negara kecil dan kaya seperti UAE memainkan pengaruh yang tidak seimbang,” kata Justyna Gudzowska, Pengarah Eksekutif The Sentry, organisasi yang meneliti pembiayaan konflik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN