WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bakal melancarkan fasa baharu operasi berkaitan Venezuela dalam masa terdekat ketika pentadbiran Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap kerajaan semasa pimpinan Presiden, Nicolas Maduro.
Laporan Reuters yang memetik empat pegawai AS itu bagaimanapun tidak dapat memastikan tarikh tepat atau skop operasi tersebut, termasuk sama ada Trump sudah membuat keputusan muktamad.
Antara pilihan yang dipertimbangkan berkaitan operasi di Venezuela termasuk tindakan menjatuhkan risalah AS di Caracas sebagai bentuk perang psikologi untuk menekan Maduro, menurut beberapa pegawai AS yang mengetahui perbincangan tersebut kepada CBS News.
Spekulasi mengenai tindakan itu semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu susulan kehadiran aset ketenteraan AS di Caribbean berikutan hubungan yang semakin tegang dengan Caracas.
Menurut dua pegawai AS, operasi sulit turut dijangka menjadi komponen awal dalam tindakan terbaharu terhadap Maduro.
Keempat-empat pegawai yang dipetik enggan dikenali kerana sensitiviti operasi berkenaan dengan Pentagon merujuk semua pertanyaan kepada Rumah Putih, manakala CIA enggan mengulas.
Seorang pegawai kanan pentadbiran pada Sabtu tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung Venezuela.
“Trump bersedia menggunakan setiap instrumen kuasa AS untuk menghentikan kemasukan dadah ke negara ini dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Pentadbiran Trump sebelum ini meneliti beberapa pilihan tindakan terhadap Venezuela atas dakwaan Maduro terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah yang mengorbankan rakyat AS.
Maduro bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Dua pegawai memberitahu Reuters pilihan yang sedang dipertimbangkan termasuk usaha menggulingkan Maduro.
Pemimpin Venezuela itu, yang memegang kuasa sejak 2013, menuduh Washington sedang mencari alasan untuk menjatuhkannya dan mendakwa rakyat serta tentera Venezuela akan menentang sebarang percubaan campur tangan.
Maduro, yang bakal menyambut ulang tahun ke-63 pada Ahad, muncul di sebuah teater utama Caracas pada Sabtu malam bagi menghadiri tayangan perdana siri televisyen berkisar perjalanan hidupnya.
Pada Isnin, AS dijangka mengisytiharkan Kartel de los Soles sebagai organisasi pengganas asing atas dakwaan penglibatan kumpulan itu dalam penyeludupan dadah ke AS.
Washington menuduh Maduro mengetuai kartel berkenaan, sesuatu yang dinafikan beliau.










