Aktiviti ketenteraan memuncak di Carribean, penerbangan ke Venezuela dibatalkan

Aktiviti ketenteraan memuncak di Carribean, penerbangan ke Venezuela dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Enam syarikat antarabangsa membatalkan penerbangan ke Venezuela susulan amaran keselamatan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) ekoran peningkatan aktiviti ketenteraan di rantau itu.

Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Venezuela (ALAV), Marisela de Loaiza berkata, syarikat penerbangan terbabit ialah Iberia dari Sepanyol, TAP (Portugal), LATAM (Chile), Avianca (Colombia), GOL (Brazil) serta Caribbean Airlines dari Trinidad dan Tobago.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tempoh penggantungan tersebut.

Sementara itu, Copa Airlines dari Panama, Air Europa dan PlusUltra dari Sepanyol), Turkish Airlines serta LASER Airlines dari Venezuela masih meneruskan operasi buat masa ini.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) pada Jumaat mengeluarkan amaran kepada semua pesawat awam agar berhati-hati ketika memasuki ruang udara Venezuela berikutan situasi keselamatan yang semakin meruncing dan peningkatan aktiviti ketenteraan di kawasan tersebut.

Menurut FAA, ancaman itu berpotensi menjejaskan keselamatan pesawat pada semua altitud, termasuk ketika berlepas, mendarat atau ketika berada di lapangan terbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington menghantar sebuah kumpulan kapal pengangkut pesawat, beberapa kapal perang tentera laut serta pesawat halimunan ke rantau Caribbean, langkah yang didakwa bertujuan mengekang penyeludupan dadah namun dibimbangi Caracas sebagai usaha menjatuhkan kerajaan Presiden, Nicolas Maduro.

AS pada Isnin dijangka menguatkuasakan pengisytiharan sebuah kartel dadah yang didakwa dipimpin Maduro sebagai organisasi pengganas asing, tindakan yang dilihat pemerhati sebagai petanda awal kemungkinan tindakan ketenteraan.

Sejak awal September, pasukan AS melancarkan lebih 20 serangan ke atas bot yang didakwa digunakan untuk penyeludupan dadah di Laut Caribbean dan timur Lautan Pasifik, mengorbankan lebih 80 individu.

Namun, Washington masih belum mengemukakan bukti kukuh bot-bot tersebut digunakan untuk kegiatan penyeludupan atau mengancam keselamatan AS.

Ia sekali gus mencetuskan ketegangan baharu di rantau itu ekoran operasi tersebut serta peningkatan kehadiran ketenteraan AS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN