WASHINGTON: Beberapa ahli politik Amerika Syarikat (AS) bercadang memperkenalkan resolusi kontroversi di Kongres yang bertujuan mengubah status quo Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, sekali gus menimbulkan kebimbangan antarabangsa.
Resolusi itu diketuai Ahli Kongres Claudia Tenney (Republik–New York) dan Clay Higgins (Republik–Louisiana), disokong oleh Zionist Organization of America serta Middle East Truth Foundation, dua kumpulan sayap kanan yang rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurut draf resolusi, Dewan Perwakilan AS diseru mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Masjid al-Aqsa, yang dirujuk Israel sebagai Temple Mount, serta menegaskan hak rakyat Yahudi untuk akses penuh dan beribadat di tapak suci itu, selaras prinsip kebebasan beragama.
Cadangan itu juga mengukuhkan pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang tidak terbahagi, sambil mendakwa orang Yahudi dan Kristian menghadapi ‘halangan ketat’ berbanding umat Islam untuk memasuki tapak itu.
Menurut teks resolusi, umat Islam dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa melalui 11 pintu, manakala bukan Muslim hanya satu pintu dengan waktu terhad. Mereka turut dilarang masuk pada Jumaat dan Sabtu, sekali gus menghalang penganut Yahudi mengadakan sembahyang Sabat di situ.
Penganalisis menegaskan langkah itu berpotensi menggugurkan Perjanjian Wadi Araba 1994 antara Jordan dan Israel, yang mengekalkan pemeliharaan Hashemite ke atas Masjid Al-Aqsa dan status quo yang sedia ada.
Di bawah perjanjian itu, Waqf Islam Jordan mengekalkan kuasa pentadbiran dan keagamaan ke atas tapak suci berkenaan. Sebarang perubahan dijangka menimbulkan implikasi politik dan keselamatan serius di rantau ini.
Pemerhati menganggap resolusi itu sebagai langkah politik berbahaya yang sejajar dengan agenda sayap kanan Israel untuk menguasai sepenuhnya Baitulmuqaddis dan mengubah pengurusan Masjid Al-Aqsa, suatu polisi yang telah lama ditentang oleh Palestin, Jordan dan majoriti komuniti antarabangsa.










