LONDON: Ahli dermatologi mengkritik produk penjagaan kulit dikaitkan dengan selebriti yang dipasarkan untuk kanak-kanak kecil, menyifatkannya sebagai ‘dystopian’ atau trend menakutkan yang tidak memberikan manfaat sebenar kepada kulit mereka.
Ahli dermatologi memberi amaran, industri kecantikan kini mengembangkan pasaran mereka daripada remaja kepada kanak-kanak, mengeluarkan produk masker wajah untuk seawal usia empat tahun.
Trend ini muncul ketika semakin banyak jenama bergerak ke pasaran penjagaan kulit untuk kanak-kanak, remaja dan golongan muda.
Beberapa jenama kini popular dalam kalangan pengguna media sosial yang sangat muda, mewujudkan fenomena dikenali sebagai ‘Sephora kids’.
Namun, trend ini mendapat tentangan daripada ahli dermatologi dan pengulas dalam talian termasuk Pakar Dermatologi di 55 Harley Street, London, Dr. Emma Wedgeworth yang menyifatkannya sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Saya rasa produk ini sama sekali tidak diperlukan. Apabila kita melihat apa yang kita gunakan pada kulit kanak-kanak, kita mesti menimbang manfaat dan risiko, dan dalam kes ini tiada manfaat sebenar, malah mendedahkan mereka kepada risiko yang tidak perlu.
“Penting untuk kita memberi contoh yang baik kepada golongan muda tentang bagaimana mengekalkan kulit yang sihat, tanpa terlalu menekankan penampilan atau mewujudkan kerisauan terhadap bagaimana kulit mereka kelihatan.
“Pada usia ini, penjagaan kulit sepatutnya bersifat membersih secara lembut, melembapkan jika kulit kering dan perlindungan daripada cahaya matahari. Pencuci yang cair atau produk berwangian tidak menyokong lapisan pelindung kulit dengan cara yang bermakna,” katanya kepada The Guradian.
Katanya, kanak-kanak kecil sememangnya tidak mementingkan penampilan dan orang dewasa tidak sepatutnya menggalakkan mereka terlalu memikirkan tentang kulit atau rupa paras mereka.
Tegasnya, kulit kanak-kanak lebih sensitif dan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahan kimia yang tidak perlu meningkatkan risiko kerengsaan dan sensitiviti di kemudian hari.
“Tiada masalah dengan produk yang dirumus dengan baik dan direka khusus untuk kulit muda, jika ia benar-benar berdasarkan pemahaman saintifik tentang perbezaan antara kulit dewasa dan kanak-kanak.
“Masalah dengan beberapa rangkaian baru ini, termasuk jenama berasaskan selebriti, adalah ia berasaskan pemasaran, bukan sains dan tidak menawarkan manfaat sebenar kepada kulit,” katanya.
Seorang lagi Ahli dermatologi, Amy Perkins turut memuat naik pendapat serupa di akaun Instagramnya.
“Rini memasarkan masker muka ‘lembut’ untuk ‘memulihkan’ kulit muda. Mereka menggambarkannya sebagai ‘di mana penjagaan kulit dan permainan bertemu inovasi’ dan saya rasa ini agak dystopian.
“Ini adalah contoh industri kecantikan mengembangkan jangkauannya daripada remaja kepada anak-anak kecil,” katanya.










