SURAT THANI: Penduduk tempatan serta pengusaha pelancongan di pulau peranginan terkenal Koh Phangan, Thailand, semakin gusar terhadap peningkatan penglibatan warga Israel dalam sektor perniagaan di pulau itu yang didakwa menggugat keseimbangan ekonomi dan keharmonian sosial masyarakat setempat.
Menurut laporan media tempatan, sejumlah warga Israel membuka pelbagai jenis perniagaan termasuk restoran, pusat yoga, dan penginapan yang menyasarkan pelancong dari negara mereka.
Banyak daripada perniagaan itu beroperasi menggunakan kaedah nominee, iaitu didaftarkan atas nama warga Thailand sebagai pemilik sah bagi mengelakkan sekatan terhadap pemilikan asing, yang bertentangan dengan undang-undang tempatan.
Gabenor Surat Thani, Teeruth Supawiboonpol, memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan wakil komuniti tempatan dan pihak berkuasa pelancongan bagi meneliti kesan kegiatan warga asing ini. Antara isu yang dibangkitkan termasuk pelanggaran undang-undang pemilikan tanah, penggunaan visa tidak sah dan gangguan terhadap pelancong lain.
“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang perniagaan dan imigresen. Jika didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Fenomena ini turut mengingatkan masyarakat kepada ketegangan yang berlaku di Pai, wilayah Mae Hong Son awal tahun ini, apabila kehadiran berlebihan pelancong asing mencetuskan konflik budaya dan isu pemilikan perniagaan dalam kalangan penduduk tempatan.
Di Koh Phangan, suasana serupa kelihatan apabila kawasan tertentu di pulau itu mula digelar sebagai “Tel Aviv Kedua” kerana dominasi pelancong dan perniagaan yang dikendalikan oleh warga Israel.
Situasi ini menimbulkan ketegangan budaya serta persaingan tidak seimbang dalam sektor perniagaan.
Susulan perkembangan itu, Kedutaan Israel di Bangkok turut mengeluarkan kenyataan menasihatkan rakyatnya menghormati budaya, undang-undang serta sensitiviti tempatan ketika berada di Thailand dan mengelakkan sebarang kelakuan yang boleh mencetuskan konflik atau menjejaskan hubungan dengan masyarakat setempat.
Koh Phangan yang terkenal di peringkat antarabangsa menerusi acara bulanan “Full Moon Party” menarik ribuan pelancong setiap tahun, namun kehadiran asing secara berlebihan tanpa kawalan kini menjadi isu serius yang mendapat perhatian pihak berkuasa dan masyarakat setempat.