Wanita tukar warna mata ketika hamil, mahu bayi bermata biru

Wanita tukar warna mata ketika hamil, mahu bayi bermata biru

SEORANG wanita Russia mendedahkan dia melakukan proses menukar warna mata ketika hamil hanya kerana mahu bayinya kelak bermata biru. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Seorang wanita muda di Russia menjadi tular di media sosial selepas mendakwa dia menjalani prosedur menukar warna mata ketika hamil dengan harapan anak yang bakal dilahirkan mewarisi warna mata baharunya.

Wanita berkenaan, yang bekerja sebagai pakar kosmetologi, membuat dakwaan luar biasa itu ketika menjadi tetamu dalam satu rancangan audio siar perubatan popular di Russia.

Katanya, dia menjalani pro­sedur pertukaran warna mata menggunakan teknologi laser sebelum melahirkan anak, de­ngan kepercayaan DNA akan berubah secara automatik dan membolehkan bayi yang dilahirkan mempunyai mata berwarna biru.

“Saya tukar warna mata sebelum bersalin supaya anak saya lahir bermata biru. DNA akan susun semula dengan sendirinya,” katanya.

Meskipun hos rancangan tersebut berjaya mengekalkan ketenangan sepanjang temu bual itu, netizen di media sosial nyata tidak menahan gelak serta mengecam kenyataan wanita berkenaan sebagai tidak berasas dan mengelirukan.

“Kalau begitu, saya pernah buat rawatan buang bulu laser sebelum hamil supaya anak saya lahir tanpa bulu,” seloroh seorang pengguna di Instagram.

“Saya belajar bahasa Jerman supaya anak saya terus tahu bahasa itu sejak lahir. Hebat bukan?” ujar seorang lagi pengguna media sosial.

Menurut pakar perubatan, terdapat beberapa kaedah kosmetik moden yang membolehkan seseorang menukar warna mata, antaranya implan iris tiruan, rawatan laser yang menyingkirkan melanin pada permukaan iris untuk menjadikan mata lebih cerah, serta teknik terbaharu dikenali sebagai ‘keratopigmentation’ atau tatu kornea.

Namun, para saintis menegaskan tiada sebarang prosedur kosmetik yang mampu mengubah struktur genetik atau diwarisi oleh zuriat, sekali gus menolak dakwaan pertukaran warna mata boleh mempengaruhi warna mata bayi yang bakal lahir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN