Wanita telan lapan ekor katak hidup untuk rawat sakit belakang 

Wanita telan lapan ekor katak hidup, percaya boleh rawat sakit belakang 

SEORANG warga emas dijangkiti cacing pita Sparganum selepas menelan lapan ekor katak hidup di wilayah Zhejiang, China.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU: Seorang wanita warga emas di wilayah Zhejiang dimasukkan ke hospital selepas menelan lapan ekor katak hidup dalam usaha pelik untuk merawat sakit belakang akibat cakera tulang belakang tergelincir.

Menurut laporan media tempatan, wanita berusia lingkungan 60-an yang dikenali dengan nama keluarga Zhang, memilih rawatan tradisional luar biasa itu selepas mendengar khabar angin menelan katak hidup boleh menyembuhkan sakit belakang.

Zhang dilaporkan meminta bantuan ahli keluarganya menangkap beberapa ekor katak bersaiz sederhana, namun tidak mendedahkan niat sebenar. 

Pada hari pertama, dia menelan lima ekor katak hidup, dan tiga ekor lagi pada keesokan harinya. Tidak lama kemudian, dia mula mengalami sakit perut yang teramat sangat.

Pada mulanya, Zhang hanya merasa tidak selesa, tetapi kesakitan itu semakin teruk dari hari ke hari sehingga dia akhirnya memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku. 

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Pertama Universiti Zhejiang, di mana doktor menjalankan beberapa ujian dan menemui jumlah sel oksifil yang luar biasa tinggi dalam tubuhnya iaitu petanda jangkitan parasit atau gangguan darah.

“Menelan katak hidup merosakkan sistem penghadaman pesakit dan membenarkan parasit memasuki badannya,” kata seorang doktor kepada media. 

Beliau menjelaskan, Zhang dijangkiti cacing pita Sparganum, sejenis parasit yang sering ditemui dalam tubuh individu yang makan atau menyentuh katak dan ular hidup.

Selepas dua minggu menerima rawatan di hospital, Zhang dilaporkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang namun, pihak hospital menegaskan insiden itu harus dijadikan pengajaran mengenai bahaya mengamalkan petua tradisional tanpa nasihat perubatan.

“Selain menelan katak hidup, masih ramai yang mengamalkan kaedah berisiko seperti memakan hempedu ular, hempedu ikan mentah atau menampal kulit katak pada badan.

“Kebanyakan mereka adalah warga emas yang jarang berkongsi masalah kesihatan dengan anak cucu, dan hanya ke hospital apabila keadaan sudah serius,” kata seorang doktor. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN