KYIV: Tentera Ukraine melancarkan serangan ke atas sebuah loji kimia di Russia menggunakan peluru berpandu jarak jauh Storm Shadow buatan United Kingdom (UK).
Dalam kenyataan di platform X, pihak tentera menyifatkan serangan itu sebagai kejayaan besar kerana berjaya menembusi sistem pertahanan udara Russia dan kini sedang menilai kesan penuh daripada serangan besar-besaran gabungan peluru berpandu dan udara tersebut.
Menurut kenyataan itu, Loji Kimia Bryansk disifatkan sebagai kemudahan penting dalam kompleks ketenteraan-perindustrian Russia, yang menghasilkan serbuk letupan, bahan letupan serta komponen bahan api roket digunakan dalam peluru dan misil yang dilancarkan ke arah Ukraine.
“Misi ini menyasarkan pusat keupayaan ketenteraan musuh,” ujar tentera Ukraine, sambil menegaskan serangan ke atas kemudahan strategik Russia adalah penting untuk melemahkan keupayaan Moscow dalam perang tersebut.
Setakat ini, pihak berkuasa Moscow masih belum mengulas mengenai insiden berkenaan.
Serangan itu berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer bersama pemimpin Eropah lain berikrar untuk meningkatkan tekanan terhadap ekonomi dan industri pertahanan Russia sehingga Presiden, Vladimir Putin bersedia mengadakan rundingan damai.
Kenyataan bersama yang turut ditandatangani oleh pemimpin Ukraine, Jerman, Perancis, Itali, Poland, Denmark, Finland, Kesatuan Eropah dan Norway menegaskan Ukraine mesti berada dalam kedudukan terkuat sebelum, semasa dan selepas sebarang gencatan senjata.
Beberapa jam selepas serangan itu, Russia melancarkan serangan udara ke atas ibu kota Ukraine, Kyiv, pada awal pagi Rabu.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, bunyi letupan kedengaran di seluruh bandar ketika sistem pertahanan udara beroperasi untuk memintas serangan, menurut laporan Reuters.
Serangan terbaharu ini berlaku seminggu selepas pertemuan di Rumah Putih antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di mana Trump memberi isyarat beliau belum bersedia membekalkan peluru berpandu Tomahawk yang diminta Kyiv.
Trump dan Putin sebelum ini bersetuju untuk mengadakan rundingan di Budapest berhubung perang Ukraine, namun rancangan itu ditangguhkan pada Selasa selepas Trump berkata, beliau tidak mahu mengadakan pertemuan yang sia-sia.