Trump yakin gencatan senjata Gaza ‘masih baik’

Trump yakin gencatan senjata Gaza ‘masih baik’

PENDUDUK Palestin melarikan diri ketika tentera Israel melancarkan serangan udara di tengah Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza masih berkuat kuasa, meskipun insiden keganasan terbaharu mencetuskan kebimbangan tentang kelangsungannya.

Ketegangan memuncak selepas dua anggota tentera Israel terbunuh dan tiga lagi cedera dalam satu serangan terhadap pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Rafah, selatan Gaza.

Susulan itu, tentera Israel melancarkan serangan udara balas secara besar-besaran terhadap 20 sasaran yang didakwa milik Hamas di seluruh wilayah Palestin itu.

Menurut agensi pertahanan awam yang dikendalikan Hamas, serangan tersebut telah mengorbankan seramai 45 orang.

Trump dalam kenyataan terbaharunya menegaskan gencatan senjata masih dipatuhi oleh kedua-dua pihak dan sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak bertenang dan mengelakkan tindakan yang boleh menggagalkan usaha damai yang berlangsung.

Gencatan senjata itu, yang dimeterai dengan sokongan antarabangsa merupakan langkah penting dalam meredakan konflik yang telah meragut ribuan nyawa sejak bertahun-tahun lalu.

Naib Presiden AS, JD Vance pula mengakui pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas masih berdepan pelbagai cabaran, sambil menyifatkan situasi semasa sebagai ‘sukar tetapi dijangka’.

“Proses ini memang rumit. Tidak akan berjalan sempurna. Walaupun dalam senario terbaik yang diharapkan membawa kepada keamanan jangka panjang, pasti akan ada turun naik,” katanya.

Seorang pegawai kanan AS memberitahu CNN, pentadbiran Trump kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan lanjut perjanjian damai tersebut, sambil bekerjasama rapat dengan sekutu serantau bagi memastikan ia berjalan mengikut perancangan.

Vance dijangka mengetuai delegasi ke Israel dalam masa terdekat bersama dua tokoh utama yang merangka perjanjian tersebut iaitu Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff dan penasihat kanan, Jared Kushner.

Namun begitu, Vance enggan mengesahkannya.

“Kami mungkin akan pergi. Masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN