WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengecam tindakan China menghentikan pembelian kacang soya dari AS sebagai satu tindakan bermusuhan ekonomi, sambil memberi amaran Washington mungkin menghentikan pembelian minyak masak dari negara itu sebagai tindak balas.
“Kami sedang menimbangkan untuk menamatkan urus niaga dengan China yang berkaitan dengan minyak masak dan beberapa aspek perdagangan lain sebagai tindakan balas,” kata Trump menerusi hantaran di laman Truth Social.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas beliau cuba meredakan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Washington dan Beijing.
Ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu kembali memuncak dalam penggal kedua pentadbiran Trump, apabila kedua-dua pihak saling mengenakan tarif balas yang pernah mencecah paras tiga angka.
Dalam temu bual bersama Financial Times pada Isnin, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menuduh Beijing cuba merosakkan ekonomi global susulan langkah China mengenakan kawalan eksport baharu terhadap bahan nadir bumi yang strategik manakala Trump pula menegaskan Washington perlu berhati-hati dengan China.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan Presiden Xi (Jinping), tetapi kadang-kadang ia menjadi tegang kerana China suka mengambil kesempatan. Bila mereka mula ‘melemparkan tumbukan’, kita perlu tahu bagaimana untuk bertahan,” katanya.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump turut menegaskan penghentian pembelian kacang soya oleh China telah menjejaskan para petani di AS.
Data kerajaan menunjukkan import lemak haiwan, gris dan minyak terproses termasuk minyak masak terpakai dari China meningkat mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan lonjakan pengeluaran bahan api biomas di AS.
Walaupun ketegangan antara Washington dan Beijing dilihat sedikit reda berbanding kemuncaknya dahulu, gencatan itu masih berada dalam keadaan rapuh.
Selepas Beijing mengenakan kawalan baharu ke atas eksport teknologi dan bahan nadir bumi, Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 100 peratus terhadap barangan dari China bermula 1 November ini.
China merupakan pengeluar utama mineral yang digunakan dalam pembuatan magnet penting bagi industri automotif, elektronik dan pertahanan dunia.
Minggu lalu, Trump turut mengancam untuk membatalkan pertemuannya dengan Presiden Xi pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.
China pula menuduh AS mengamalkan berat sebelah selepas ancaman tarif baharu tersebut diumumkan dan Beijing menegaskan negara itu bersedia untuk berjuang hingga ke penghujungnya dalam perang perdagangan dengan Washington. —AGENSI