Trump tumpu selesaikan perang Russia-Ukraine selepas gencatan senjata Gaza - Utusan Malaysia

Trump tumpu selesaikan perang Russia-Ukraine selepas gencatan senjata Gaza

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dengan gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas masih kekal, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini mengalihkan tumpuan untuk menamatkan perang antara Russia dan Ukraine, termasuk mempertimbangkan penjualan senjata jarak jauh kepada Kyiv bagi mendesak Moscow ke meja rundingan.

Usaha menamatkan perang di Ukraine dan Gaza menjadi antara janji utama dalam kempen pemilihan semula Trump pada 2024, di mana beliau kerap mengkritik pendekatan Presiden Joe Biden terhadap kedua-dua konflik tersebut.

Namun, seperti pendahulunya, Trump turut berdepan kesukaran berunding dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, yang enggan mengadakan rundingan langsung dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, walaupun perang hampir memasuki tahun keempat.

Selepas kejayaan sementara gencatan senjata di Gaza, Trump dilihat semakin yakin dapat mencapai kemajuan dalam usaha menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, malah memberi isyarat akan meningkatkan tekanan terhadap Putin sekiranya beliau terus enggan berunding.

“Menariknya, kita telah membuat sedikit kemajuan hari ini hasil daripada apa yang berlaku di Timur Tengah,” kata Trump ketika berucap dalam satu majlis makan malam di Rumah Putih, Rabu lalu.

Awal minggu ini di Israel, Trump dalam ucapannya di Knesset menegaskan keutamaan dasar luar AS kini tertumpu kepada usaha menamatkan perang terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

“Pertama sekali, kita perlu selesaikan hal Russia,” katanya sambil mengarahkan utusan khasnya, Steve Witkoff, yang juga berperanan sebagai penghubung dengan Putin, untuk menumpukan usaha ke arah itu.

Trump dijadual bertemu Zelensky pada Jumaat ini pertemuan keempat antara kedua-dua pemimpin tahun ini.

Menjelang pertemuan itu, Trump berkata beliau sedang menimbangkan penjualan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Kyiv, yang membolehkan Ukraine melancarkan serangan jauh ke dalam wilayah Rusia sekiranya Moscow enggan menamatkan perang.

Zelensky sejak sekian lama meminta sistem senjata tersebut, dengan alasan ia mampu memberikan tekanan ketenteraan yang cukup untuk memaksa Rusia ke meja rundingan.

Walau bagaimanapun, Putin telah menegaskan penghantaran Tomahawk kepada Ukraine akan melanggar ‘garis merah’ dan merosakkan hubungan Moscow–Washington namun Trump tidak berganjak dengan pendiriannya. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN