Trump tidak akan bertemu Kim Jong-un dalam lawatan ke Asia

Trump tidak akan bertemu Kim Jong-un dalam lawatan ke Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak kemungkinan untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, semasa lawatan ke Asia minggu ini, dengan alasan kekangan jadual.

Sebelum ini, Trump menyatakan kesediaannya untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Jong-un.

“Kami tidak dapat menyusun masa yang sesuai,” katanya ketika berada di Korea Selatan menjelang pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, hari ini.

Beliau menyifatkan pertemuannya dengan Jinping sebagai agenda utama lawatan, sambil menegaskan ia penting bukan sahaja untuk dunia tetapi kedua-dua negara.

Sebelum tiba di Korea Selatan, Trump menjangka akan kembali ke rantau itu bagi mengadakan pertemuan dengan Jong-un ‘dalam masa terdekat’.

Pemimpin Korea Utara itu turut menunjukkan minat sama untuk bertemu Trump.

Trump juga dilihat mengabaikan tindakan Pyongyang melancarkan ujian peluru berpandu hari ini, menjelang lawatannya ke Korea Selatan.

“Dia sudah melancarkan peluru berpandu selama berdekad-dekad bukan?,” katanya kepada wartawan di atas pesawat Air Force One, semalam.

Trump berkata, beliau memahami jadual Jong-un yang sangat padat, namun menegaskan kedua-duanya mempunyai persefahaman yang baik antara satu sama lain.

Jong-un sebelum ini turut memberi isyarat kesediaan untuk kembali ke meja rundingan dengan AS asalkan Washington menghentikan tuntutan supaya Korea Utara melucutkan senjata nuklearnya.

Dalam penerbangan ke Asia, Trump pula berkata beliau tidak bimbang untuk mengiktiraf Korea Utara sebagai kuasa nuklear, sambil menegaskan negara itu sudah pun memiliki senjata tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN