LONDON: Pihak berkuasa Britain memberi amaran keras terhadap satu lagi trend pelik yang kini dalam tular dalam TikTok.
Trend terbaharu itu menyaksikan remaja menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mereka-reka gambar kononnya seorang lelaki gelandangan menceroboh rumah mereka, sebelum menghantar imej tersebut kepada ibu bapa bagi meminta bantuan.
Walaupun dianggap sebagai gurauan oleh sesetengah pihak, polis kini terpaksa bertindak selepas menerima panggilan kecemasan palsu daripada ibu bapa yang panik akibat diperdaya oleh anak-anak mereka sendiri.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Dorset memaklumkan pihaknya menerima panggilan 999 daripada seorang ibu bapa yang percaya rumahnya benar-benar dimasuki penceroboh, menyebabkan anggota dihantar dengan segera menggunakan lampu kecemasan biru.
“Semua orang suka bergurau, namun AI prank lelaki gelandangan bukan sesuatu yang lucu,” kata kenyataan itu.
Trend berkenaan dilakukan dengan cara pengguna merakam gambar bahagian dalam rumah mereka, kemudian menggunakan penjana imej AI seperti ChatGPT atau Gemini AI untuk menambah watak lelaki gelandangan dalam foto tersebut.
Mereka kemudiannya menghantar gambar itu kepada ibu bapa dengan mesej palsu seperti “Ayah, ada lelaki di depan pintu, dia kata dia kenal ayah,” disertakan gambar lelaki gelandangan berdiri di muka pintu.
Dalam tangkap layar lain, pengguna menulis “Dia kata kamu pernah bersekolah bersama, saya ajak dia masuk.”
Menurut Polis Dorset, mereka menerima beberapa panggilan sama dan menegaskan tindakan itu membazirkan sumber serta masa pasukan penyelamat.