BANGKOK: Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Vorapak Tanyawong, meletakkan jawatan semalam selepas dikaitkan dengan dakwaan penglibatan dalam sindiket penipuan siber berpangkalan di Kemboja.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sebelum ini mengarahkan Vorapak, seorang tokoh kewangan berpengalaman yang baru sebulan memegang jawatan supaya mengemukakan penjelasan bertulis berhubung dakwaan tersebut minggu ini.
Nama Vorapak mula menjadi perhatian selepas laporan minggu ini mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan rentas sempadan di Kemboja.
Buletin dalam talian yang dikenali sebagai Whale Hunting melaporkan isteri Vorapak menerima bayaran sebanyak AS$3 juta (RM12 juta) dalam bentuk mata wang kripto daripada rangkaian jenayah China-Kemboja yang kini sedang disiasat oleh jawatankuasa kerajaan Thailand.
Laporan sama turut mendakwa Vorapak pernah disenaraikan sebagai penasihat kepada BIC Bank, sebuah bank di Kemboja yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Dalam sidang akhbar semalam, Vorapak menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam kegiatan tidak sah, namun mengumumkan peletakan jawatan bagi memberi tumpuan kepada pembelaan dirinya di mahkamah.
“Saya perlu masa untuk menumpukan perhatian terhadap perbicaraan ini, dan saya bimbang ia akan mengganggu tugas utama saya di Kementerian Kewangan,” katanya.
Vorapak, yang sebelum ini meniti kerjaya panjang dalam sektor kewangan swasta, baru menceburi dunia politik tahun lalu sebagai penasihat kepada menteri kewangan ketika itu.
Beliau pernah memegang jawatan kanan di beberapa bank antarabangsa termasuk Bank of America dan JP Morgan Chase cawangan Thailand.
Walaupun tuduhan rasuah bukan perkara asing dalam politik Thailand, skandal yang mengaitkan pegawai kanan kerajaan dengan industri penipuan siber bernilai berbilion dolar di Asia Tenggara jarang berlaku. —AGENSI










