KAHERAH: Tiga diplomat Qatar maut dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menuju ke pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, semalam.
Menurut pegawai kesihatan tempatan dan Kedutaan Qatar di Mesir, dua lagi diplomat cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 50 kilometer dari Sharm el-Sheikh.
Beberapa negara Arab dan Teluk memberikan ucapan takziah serta menyampaikan simpati kepada kerajaan serta rakyat Qatar.
Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan menzahirkan solidariti Kerajaan dengan keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Bahrain dan Kuwait turut mengeluarkan kenyataan berasingan menzahirkan rasa dukacita terhadap pemergian para diplomat berkenaan.
Dalam satu hantaran di platform X, Kedutaan Qatar memaklumkan mangsa merupakan pegawai dari Amiri Diwan, iaitu badan tertinggi pentadbiran kerajaan Qatar manakala dua lagi mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.
Kedutaan itu turut memaklumkan jenazah serta mangsa yang cedera akan dihantar pulang ke Doha pada Ahad.
Para diplomat tersebut adalah anggota pasukan protokol Qatar yang dalam perjalanan ke Sharm el-Sheikh bagi menghadiri satu sidang kemuncak peringkat tinggi yang meraikan kejayaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza.
Gencatan senjata itu dimediasi oleh Qatar bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS), dengan Turkiye turut menyertai rundingan yang diadakan di Sharm el-Sheikh awal bulan ini yang berjaya membawa kepada pembebasan tebusan serta ratusan tahanan Palestin.
Sidang kemuncak berkenaan dijadual berlangsung di Sharm el-Sheikh dan akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah El-Sisi dan Presiden AS, Donald Trump.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir, lebih dua puluh pemimpin dunia termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dijangka menghadiri sidang tersebut. -AGENSI