THE HAGUE: Sebuah pertubuhan hak asasi manusia bebas yang berpangkalan di Belanda, The Hague Initiative mengeluarkan seruan antarabangsa kepada peguam dan profesional undang-undang untuk menyertai usaha global mempertahankan kebebasan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) daripada campur tangan politik.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, The Hague Initiative menyatakan sokongan penuh terhadap keadilan untuk mangsa genosid di Palestin, serta menyeru semua peguam dan profesional undang-undang untuk menyertai satu vigil aman di hadapan ICC di The Hague pada Jumaat, 24 Oktober.
Menurut kenyataan itu, individu yang tidak dapat hadir secara fizikal ke The Hague digalakkan menganjurkan perhimpunan selari di hadapan mahkamah atau dewan peguam di negara masing-masing sebagai simbol solidariti terhadap perjuangan menegakkan keadilan antarabangsa.
The Hague Initiative menegaskan sokongan tanpa syarat terhadap mandat ICC dan menyatakan mereka enggan berdiam diri terhadap jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Pertubuhan itu juga menyeru semua halangan dan ancaman terhadap ICC dihapuskan bagi membolehkan mahkamah tersebut menjalankan tugasnya secara bebas, telus dan tanpa tekanan politik daripada mana-mana pihak.
Selain itu, The Hague Initiative menuntut penamatan segera terhadap semua sekatan yang dikenakan terhadap ICC atau pendakwarayanya, yang menurut mereka menjejaskan integriti dan kebebasan institusi keadilan antarabangsa tersebut.
Antara gesaan utama lain termasuklah pengeluaran waran tangkap terhadap semua pegawai politik dan tentera yang bertanggungjawab atas jenayah perang di Palestin, tanpa pengecualian, serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza secara bebas dan tanpa syarat.
Seruan ini hadir ketika ICC berdepan tekanan hebat susulan siasatan terhadap jenayah perang di Palestin, dan sebagai usaha kolektif masyarakat sivil antarabangsa untuk mempertahankan prinsip keadilan sejagat dan hak mangsa untuk mendapatkan pembelaan.










