Tentera Laut Pakistan rampas dadah lebih AS$1 bilion di Laut Arab - Utusan Malaysia

Tentera Laut Pakistan rampas dadah lebih AS$1 bilion di Laut Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Tentera Laut Pakistan yang beroperasi di bawah pasukan tentera laut gabungan diketuai Arab Saudi merampas dadah bernilai hampir AS$1 bilion daripada dua buah kapal di Laut Arab minggu lalu.

Menurut kenyataan Angkatan Maritim Gabungan (CMF) semalam, operasi itu dijalankan dalam tempoh 48 jam apabila pasukan Pakistan menahan dua buah kapal jenis dhow yang tidak mempunyai pendaftaran kebangsaan.

Dalam operasi pertama pada 18 Oktober, anggota tentera laut Pakistan menaiki kapal berkenaan dan menemui lebih dua tan dadah jenis crystal methamphetamine (ICE) yang dianggarkan bernilai AS$822.4 juta.

“Kurang daripada 48 jam kemudian, kapal kedua pula berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui 350 kilogram dadah jenis ICE bernilai AS$140 juta serta 50 kilogram kokain bernilai AS$10 juta,” kata CMF dalam kenyataan itu.

Tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai lokasi asal kapal terbabit, namun CMF mengesahkan kedua-duanya dikenal pasti sebagai kapal tidak berdaftar dan tidak memiliki kewarganegaraan.

Operasi berkenaan dijalankan di bawah Task Force 150 yang diketuai Arab Saudi, dengan CMF menegaskan kejayaan tersebut membuktikan kepentingan kerjasama pelbagai negara dalam memerangi penyeludupan antarabangsa.

Komodor Tentera Laut Arab Saudi, Fahad Aljoiad, yang mengetuai operasi itu berkata, rampasan kali ini merupakan antara kejayaan terbesar CMF dalam membanteras pengedaran dadah di laut.

CMF merupakan rangkaian keselamatan maritim yang dianggotai 47 negara, ditugaskan memantau kawasan perairan, termasuk laluan perkapalan paling penting di dunia, bagi mencegah kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Dalam kenyataan berasingan, Tentera Laut Pakistan menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kepada komitmen berterusan negara tersebut terhadap keselamatan maritim serantau, keamanan global serta usaha kolektif membanteras penyeludupan di laut. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN